Puaka PH buka pintu ICERD

MASALAH yang mencemperakan kesangsian perpaduan di bawah apa yang dikatakan Malaysia Baharu ialah Kerajaan Pakatan Harapan (PH) membuka pintu kepada perbincangan ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum), satu gagasan antarabangsa bagi melenyapkan diskrIminasi kaum di setiap negara.

Advertisement

Gagasan itu sudah ada lama, hampir sama lama dengan henti ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) yang ditentang oleh semua pembangkang.

Sebusuk-busuk Umno/BN yang berbau zalim selama 61 tahun berkuasa, ia tidak beri muka kepada ICERD. Padahal kasihnya kepada kemerdekaan dan wibawa bangsa adalah cacarmarba. Ia bukan sekadar tidak ratifikasikan – tandatangani – gagasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu, bahkan ia tutup pintu perbincangan. (Foto atas: Tuan Guru Abdul Hadi Awang menerima memorandum bantahan ratifikasi ICERD daripada NGO UMMAH di Parlimen, 31 Oktober lalu.)

Sama macam antinya Tunku Abdul Rahman dan Umno akan komunis di zaman pimpinannya, maka begitulah ingkarnya rejim lama terhadap ICERD.

Ia bukan isu salama ini. Yang jadi isu ialah hak istimewa, perkauman, rasuah, GST, rompakan atas kekayaan negara oleh orang-orang besar, kebebasan kehakiman dan kebebasan bersuara.

Sekalipun diskriminasi itu ada kelemahan dan cacatnya, tetapi membangkitkan ICERD bagi orang Islam adalah seperti mentakwil sistem beraja, Islam sebagai agama rasmi, memadukan bahasa kebangsaan walaupun tidak dihormati.

Justeru ICERD tidak jadi isu dan ia tidak berbangkit, maka sensitivitinya tidak dimasukkan dalam hal-hal yang dilarang dalam Akta Hasutan. Ia tidak jadi isu kerana kerajaan dahulu tutup pintu perbincangan mengenainya.

Akan tetapi pemimpin-pemimpin PH mengambil pendekatan pintu terbuka terima apa sahaja asal Putrajaya boleh dirampas sekalipun melanggar sensitiviti Islam dan Melayu. Bukan semua membela Melayu dan menjaga kepentingannya asabiah dan zalim belaka. Sama seperti menghapuskan batas-batas pemisahan kaum adil belaka.

Maka PH yang menang atas dasar pintu terbukanya, tanpa memilih isu-isu boleh diketengah dan tidak boleh diketengah memilih untuk membincang apa jua isu bagi menjadikan Malaysia benar-benar baharu.

Ia pun menyinggung hati kecil dan kebimbangan orang Islam/Melayu untuk meratifikasi ICERD. Ia adalah isu penting bagi jabatan perpaduan Jabatan Perdana Menteri demi merapatkan perpaduan kaum. Tentulah ia sudah dibawa ke kabinet. Walaupun belum diluluskan, tetapi ia sudah dibincang.

Semua menteri kata ia dalam perbincangan. Perdana Menteri kata, tidak sesuai bagi negara ini meratifikasinya. Soalnya ia dibenarkan untuk dibincang. Perdana Menteri sudah dalam kabin dan jadi PM paling lama. Tentu tahu mengapa ia diamkan. Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Wan Azizah baru enam bulan masuk kabinet tetapi suaminya sudah ada dalam kerajaan sejak tahun 1982. Mereka tahu mengapa pintu tertutup untuk perbincangan.

Menteri Luar kata, sang pembantah tidak faham perlembagaan sepenuhnya. Tetapi bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad yang lebih arif tentang perlembagaan dibanding dengan Menteri Luar pertikai kebijaksanaan membincang dan menerimanya.

Bukan Cina dan India sahaja yang memenangkan PH. Orang Islam dan orang Melayu juga ramai yang mengundinya. Tetapi mereka mengharapkan PH boleh mengamankan emosi dan kebimbangan orang Islam.

Hutang negara belum tentu selesai. Ekonomi belum tentu pulih. Rasuah belum tentu dibersih sepenuhnya. Harga barang masih membeban dan lain-lain, maka Kerajaan PH hentak kepala orang Islam dengan ICERD.

Perubahan membawa untung tetapi menolak perubahan melalui Islam mendatangkan rentung. Tiada sistem fikiran manusia seperti ICERD boleh menyelesaikan diskriminasi kaum di mana-mana sahaja, tetapi diskriminasi itu boleh ditangani dengan manhaj Islam.

Tolak BN betul. Yang tidak betul menggantikannya dengan PH. Pilihan paling betul ialah Islam. Memang Islam Allah wujud untuk memimpin. – HARAKAHDAILY 15/11/2018