Sahut seruan usah langgar ‘lampu merah’

KUALA TERENGGANU: Pemuda PAS Malaysia menyahut seruan Presiden parti, agar mana-mana pihak tidak melanggar ‘lampu merah’ yang menyentuh Perlembagaan Negara.

Advertisement

Ketuaya, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, amaran itu khususnya kepada pemimpin kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengenai sensitiviti ICERD kepada orang Melayu Islam di Malaysia.

Menurutnya, Pemuda PAS tidak teragak-agak turun berkumpul dari seluruh pelosok negara jika ICERD diteruskan.

“Saya mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia dan saya mewakili seluruh suara anak muda Islam termasuk di Terengganu ini.

“Kami semua menyahut apa yang disebut oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, dalam parlimen baru-baru ini. Jangan langgar ‘lampu merah’, mereka ini seumpama diberi betis mahukan paha.

“Kita juga beri amaran pada hari ini yang berkumpul di seluruh pelosok negara. Sekiranya, dilanggar lampu merah itu, kita akan gerakkan umat Islam daripada Perlis di Utara hingga ke Johor di Selatan, sehingga ke Sabah dan Sarawak. Kita akan berkumpul untuk membantah dan menolak ICERD ini,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Aman Bantah ICERD di perkarangan Masjid Tengku Intan Zaharah (Masjid Terapung) Kuala Terengganu selepas solat Jumaat, hari ini.

Himpunan itu anjuran Pemuda PAS Terengganu yang turut disertai pelbagai parti dan NGO termasuk, Umno, Pekida (Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia), Gamis (Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia) dan lain-lain.

Ustaz Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok menjelaskan, Islam termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai agama rasmi.

“Memanglah mereka tidak sebut untuk hapuskan hak Islam tetapi akhirnya akan menjurus ke arah itu. Ianya akan menghapuskan hak-hak orang Melayu Islam dan Bumiputra termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Hari ini orang Cina dan India duduk dalam keadaan aman dan damai. Tetapi, mereka mahu sama ratakan semua kaum dan bangsa lain. Kita tidak anti kepada orang bukan Islam, Cina dan India.

“Kita juga memberi amaran kepada PH yang memerintah hari ini. Kamu pemimpin-pemimpin Melayu Islam yang berada dalam PH, apa yang kamu buat?

“Ini adalah agenda DAP, agenda Malaysian Malaysia, agenda mensekularkan negara kita. Kita akan bangkit dari segenap penjuru masyarakat, NGOs, parti-parti politik. – HARAKAHDAILY 16/11/2018