Teruskan program j-QAF ke peringkat menengah

KUALA  LUMPUR: Pendidikan Islam di dalam sistem pendidikan negara perlu diperkasakan dengan memberi nafas baharu dan peranan lebih besar kepada Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
 
Perkara tersebut disuarakan Ustaz Sabri Azit (PAS – Jerai) ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat di Parlimen, di sini semalam.
 
Seru beliau, KPM perlu menilai semula Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPM 2013 – 2025) agar diberi penekanan kepada aspek Pendidikan Islam disamping penguasaan Sains, Matematik dan Bahasa.
 
Menyentuh mengenai program j-QAF, beliau memohon kepastian terhadap kesinambungannya di peringkat sekolah menengah berikutan ia tidak diteruskan dalam RMK-11 berbanding RM300 juta diperuntukan pada RMK-9.
 
Beliau memuji pengajaran pemulihan tulisan jawi menerusi inovasi pembelajaran menggunakan pelbagai kaedah seperti permainan, lagu, multimedia dan seumpamanya.
 
Menurut Ustaz Sabri, inisitif tersebut memberi suntikan semangat kepada para pelajar untuk mempelajari jawi dengan lebih intensif dan menyeronokkan.
 
“Selain itu, penyelarasan program JQAF KPM juga perlu dibuat dengan sistem kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang berada di bawah bidang kuasa JAKIM dan Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Negeri-negeri.
 
“Hal ini amat penting agar wujud keselarasan modul, silibus yang diguna pakai di semua sekolah. Adakah jawatankuasa kerja sudah dibentuk antara Jabatan Kemajuan Malaysia (JAKIM) dengan Kementerian Pendidikan bagi menjayakan usaha ini?” soalnya.
 
Beliau juga memohon penjelasan daripada Menteri Agama berkenaan status Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Islam Malaysia di bawah JAKIM dan pelaksanaan tujuh resolusi konvensyen Jun tahun lalu. – HARAKAHDAILY 16/11/2018
Advertisement