Jangan langgar ‘garis merah’ toleransi kaum

KUALA LUMPUR: Perbincangan berkaitan hak keistimewaan orang Melayu dan Islam di Malaysia bukanlah topik perkauman atau diskriminasi kaum, sebaliknya adalah mengenai hak dan keadilan.

Advertisement

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim berkata, asal Malaysia adalah Tanah Melayu sebagaimana juga Allah jadikan bumi untuk orang Arab dipanggil Tanah Arab.

“Sebagaimana Allah jadikan Tanah Besar China untuk orang Cina. Benua kecil India untuk orang India. Tanah Melayu ialah untuk orang Melayu.

“Tetapi orang Melayu dengan segala lapang dada dan semangat muhibah menerima bangsa lain untuk hidup secara harmoni di bumi Tanah Melayu ini.

“Mengajak mari kita bersama makmurkan dan bangunkan bumi Tanah Melayu ini,” ujar beliau menjernihkan desakan melampau yang wujud kini.

Menurut Dr Azman, beliau telah merantau ke beberapa negara melihat pola hidup pelbagai bangsa, namun orang Melayu antara bangsa terbaik dari segi tolak ansur dan toleransi kaum.

Namun tegas beliau, jangan sama sekali dicabar kelembutan tersebut yang terdapat ‘garis merah’ tidak harus dilanggar oleh sesiapa pun. – HARAKAHDAILY 17/11/2018