Ada kemungkinan kes 1MDB juga ‘Nolle Prosequi’?

KUALA LUMPUR: Kes pendakwaan kehilangan dana 1MDB berkemungkinan berhadapan ‘Nolle Prosequi’ atau bermaksud ‘tidak meneruskan kes’ (not to proceed with the case) yang merupakan prinsip atau amalan baharu dalam proses kehakiman negara.

Advertisement

Bayangan itu diberikan Dato’ Takiyuddin Hassan (PAS – Kota Bharu) dengan merujuk hal tersebut berdasarkan satu kes yang menggunakan prinsip sama pada 3 September lalu di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Menurut beliau, kes tersebut telah ditarik balik atas dasar pendakwa raya memohon ‘dilepaskan tanpa dibebaskan’ (discharge not amounting to acquittal), namun mahkamah memberi pelepasan dan pembebasan (discharge an acquittal).

Katanya, apabila disoal oleh rakyat, maka tampil pendakwa raya mengatakan bahawa mereka menarik balik pertuduhan kes ke atas tertuduh melalui prinsip dipanggil ‘Nolle Prosequi’ itu.  

“Adakah kita nak melihat prinsip ini dipakai di dalam kes 1MDB kalau sekiranya pendakwa mendapati bahawa keterangan tidak memihak kepada pendakwaan?” soal beliau pada perbahasan Dewan Rakyat di Parlimen, di sini kelmarin dahulu.

Jelas Takiyuddin, apabila kes tersebut ditarik balik, banyak pihak yang berkepakaran telah memberi pandangan, antara bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Osman, selain reaksi terkejut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ujar beliau, mereka terkejut dengan tindakan mahkamah menarik balik kes tersebut, selain bekas Peguam Negara itu juga menyifatkan kejutan tersebut tidak baik dan mencadangkan SPRM memfailkan rayuan sekiranya tidak puas hati dengan keputusan mahkamah itu.

“Tan Sri Abu Talib juga dalam kenyataan mengatakan, saya tidak pernah tarik balik kes yang sedang berjalan. Itu yang dia beri pandangan,” kemuka Takiyuddin. – HARAKAHDAILY 18/11/2018