Melurus tragedi Memali, Tun M masih ada waktu

TRAGEDI Memali yang telah terpahat selama 33 tahun dahulu adalah mercu tanda kezaliman BN di zaman pemerintahan Tun Mahathir, 19 November 1985 adalah tarikh bersejarah yang sentiasa mekar dalam ingatan kolektif kita semua. Jika dahulu mantan pimpinan PAS yang kini dalam kabinet kerajaan PHlah yang berada di barisan hadapan meminta mangsa-mangsa tragedi Memali diberikan keadilan. 

Advertisement

riduan mnorKini mulut mereka dikunci rapat untuk bersuara atas apa jua isu yang menyentuh maruah Islam dan bangsa Melayu. Memali akan terus diingati dan menuntut diluruskan sejarah mereka bahawa penduduk kampung ini adalah mangsa kezaliman, sebagaimana kelompok reinkarnasi komunis yang mahukan tragedi Batangkali dibongkar kembali dan diberikan keadilan oleh kerajaan British.

Memali adalah arca yang berdiri memantulkan persoalan demi persoalan, segalanya sangat rahsia seperti membuka kotak pandora yang pemalu. Rakyat Malaysia ingin tahu di manakah Tun saat peristiwa tersebut? Benarkah di dalam negara atau di negara China? Rakyat ingin tahu apakah sebab kematian sebenar empat orang anggota keselamatan yang terlibat dan apakah yang dimaksudkan SOP pihak keselamatan oleh Tun selama ini. Apakah punca sebenar yang menyebabkan 14 orang ahli-ahli PAS yang menjadi korban dalam tragedi ini.

Dekad 1980-an adalah dasawarsa kebangkitan Islam yang menyaksikan kerajaan BN melancarkan kempen Penerapan Nilai Islam untuk menghadapi kebangkitan Islam yang sedang bersemarak hangat. Dasawarsa ini juga menyaksikan keghairahan anak muda untuk menyeru kerajaan melaksanakan tuntutan Islam, manakala rejim bertindakbalas dengan tangkapan- tangkapan ISA.

Watak utama yang menjadi ikonik tragedi ini ialah As-Syahid Ustaz Ibrahim Mahmud yang dikenali juga sebagai Ustaz Ibrahim Libya. Beliau adalah pendakwah dan ulama yang pernah mendapat pendidikan di Deoband India, Universiti al-Azhar Mesir dan juga Maahad Dakwah di Tripoli, Libya.

Beliau yang juga pemidato yang handal sehingga pernah dinobatkan sebagai pendakwah terbaik di Wilayah Persekutuan, aktif menyampaikan kuliah-kuliah agama di Lembah Klang. Ustaz Ibrahim bekerja di bawah Pusat Islam sehinggalah beliau mengambil keputusan untuk berhenti makan gaji dan pulang ke daerah kelahirannya untuk sepenuh masa menyebarkan pencerahan dan ilmu agama untuk masyarakat desa yang dahagakan ilmu.

Ustaz Ibrahim mengasaskan pusat pengajian Islam di Kampung Memali Baling, aktif menyampaikan kuliah agama di Utara Semenanjung dan popularitinya dengan pantas mencuat di kalangan masyarakat Utara Semenanjung. Beliau pernah bertanding dalam pilihan raya umum pada tahun 1978 di Dun Bayu, namun tewas tipis kepada calon BN. Selain itu pernah menjadi Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah pada tahun 1978 dan juga Pengerusi ABIM daerah Baling.

Suara pemuda PAS sangat vokal dalam dekad 80-an, pada tahun 1984, berlaku tangkapan kepada tokoh-tokoh pimpinan pemuda PAS di bawah ISA , antaranya Ustaz Abu Bakar Chik, Ustaz Abdul Latif Mohamad, Ustaz Bunyamin Yaakob dan Ustaz Ibrahim antara nama yang tersenarai untuk ditahan tanpa bicara. Namun pihak berkuasa gagal menahan Ustaz Ibrahim kerana beliau dikawal rapi oleh penyokong-penyokongnya yang setia. Umno kedah semakin gelisah dengan populariti Ustaz Ibrahim yang tidak gentar dengan ugutan dan ancaman, sentiasa hadir menyampaikan kuliah di mana sahaja beliau dijemput.

Dalam Perhimpunan Agung Umno pada tahun 1985, sekali lagi wakil Umno Kedah mendesak KDN supaya mengambil tindakan tegas terhadap Ustaz Ibrahim Libya yang dilihat mengancam penguasaan Umno di Kedah. Pada tahun yang sama berlaku tragedi Lubuk Merbau dalam pilihan raya kecil Padang Terap yang membawa pembunuhan terhadap Osman Talib, seorang aktivis PAS Kedah, juga kecederaan parah seorang ahli PAS dari Besut, Haji Ayub Mir. Bahang kebangkitan PAS semakin menyala di negara ini, apatah lagi dengan fenomena Tuan Guru Haji Abdul Hadi yang sedang menaufan anak-anak muda negara ini.

Dengan desakan berterusan, maka akhirnya pada 19 November 1985 berlakulah tragedi yang memerihkan hati umat Islam negara ini, plot ceritanya hampir sama dengan peristiwa Talangsari dan Tanjung Periuk di Indonesia. Ribuan anggota keselamatan dikerah untuk mengepung lokasi Ustaz Ibrahim Libya dan pengikutnya, warga desa tak berdosa di daerah agraria itu.

Memali bergema dengan ledakan senjata api, mengalir darah syuhada bahkan menyebabkan anggota polis juga terkorban dalam misi ini. Panggung misteri belum terungkap, dengan senjata apakah anggota polis itu terbunuh. Usai tragedi Memali, seluruh media perdana terus menghukum Ustaz Ibrahim dan pengikutnya sebagai penganut ajaran sesat, manakala ulama PAS dan ulama pondok di Kedah seperti Tuan Guru Haji Umar Zuhdi, Tuan Guru Yahya Juned mengisytiharkan mereka yang teraniaya itu sebagai syuhada.

Perintah berkurung telah dikenakan di daerah ini serta penangkapan ISA sekali lagi menyerkap para pengikut Ustaz Ibrahim Mahmud. Rentetan daripada itu juga sekatan kepada ceramah-ceramah PAS di seluruh negara, PAS berjaya menenangkan ahli-ahlinya yang gelisah. Manakala seluruh media arus perdana tak lelah menyudutkan PAS sebagai kambing hitam dalam tragedi ini.

Peristiwa Memali 33 tahun lalu tetap utuh bersemayam di tangkai hati kita yang cintakan kebenaran dan perjuangan Islam. Walaupun terabai di mahkamah dunia namun mahkamah akhirat pasti kezaliman ini disingkap tirainya yang berlapis-lapis. Ustaz Ibrahim Mahmud adalah ikon perlawanan di antara hak dan batil, juga keteladanan di jalan dakwah yang penuh dengan hamparan mehnah dan ibtila’. Sosok pendakwah yang mengorbankan kesenangan hidup untuk menjadi lantera dalam kegelapan pekat kejahilan masyarakat desa Baling. “Daripada hidup bercerminkan bangkai, lebih baik mati bergalang tanah” frasa kata itu terpacul daripada mulut almarhum sebagai manifestasi menyintai kebenaran dan tidak akan bermanis muka dengan kebatilan.

Bagi saya, Tun Mahathir masih mempunyai ruang memperbaiki kesilapan lalu, memohon maaf secara terbuka pada keluarga mangsa, meluruskan sejarah Memali yang dipalit dengan fitnah. Kembalikan semula maruah Ustaz Ibrahim yang tercalar, membayar pampasan yang setimpal pada waris-waris mangsa Memali. Tun mempunyai kuasa, maka manfaatkan untuk membetulkan keadaan dan menjernihkan kembali prasangka yang tertanam lebih tiga dekad itu. – HARAKAHDAILY 19/11/2018

Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI.