Nama Parti Keadilan, tapi bergelumang politik wang?

RAKAN saya di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Setiawangsa yang juga bekas Ketua AMK menyatakan bahawa tiada guna Kelantan bergelar Serambi Makkah jika pembalakan berleluasa.

Advertisement

Saya tidak ingin menyentuh tentang fakta pembalakan di Kelantan yang semua orang tahu bahawa Jabatan Perhutanan Kelantan pernah dianugerah sijil MS ISO 9001: 2008 di atas kejayaan pengurusan pengeluaran kayu secara berkekalan di hutan simpan kekal.

Sijil anugerah itu dikeluarkan Jabatan Standard Malaysia bagi tempoh 21 September 2016 sehingga 14 September 2018. Barangkalikah sebuah negeri yang berlakunya pembalakan berleluasa menerima sijil tersebut?

Soalan balas saya kepada saudara Nik Nazmi ialah, wajarkah Parti Keadilan Rakyat (PKR) digelar dengan nama ‘Keadilan’ jika berleluasanya politik wang di dalam parti tersebut?

Bukan saya yang kata, calon Timbalan Presiden PKR yang menyatakan demikian. Jika dakwaan itu benar, bermakna hampir 51 peratus yang mengundi YB Datuk Seri Azmin Ali sebagi Timbalan Presiden adalah berkemungkinan daripada yang telah dibeli undinya? Selamatkah sebuah parti jika Timbalan Presidennya menang dengan undi dibeli?

Jika dakwaan itu tidak benar, bermakna kira-kira 49 peratus yang mengundi Rafizi Ramli telah mengundi seorang pembohong. Selamatkah sebuah parti yang 49 peratus anggotanya mengangkat seorang pembohong untuk menjadi pemimpin?

Jadi soalannya, adakah layak PKR digelar Parti Keadilan Rakyat? Sekadar soalan untuk soalan YB Nik Nazmi.

USTAZ AHMAD FADHLI SHAARI
Ahli Parlimen Pasir Mas
19 November 2018 – HARAKAHDAILY 19/11/2018