Yik dapat peruntukan RM114 juta setahun

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan meningkatkan peruntukan untuk sekolah-sekolah agama di bawah Yayasan Islam Kelantan (Yik) sebanyak RM114 juta setahun bermula tahun ini.

Advertisement

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, ia bertambah sebanyak RM14 juta berbanding sebelum ini RM100 juta.

Menurutnya, pertambahan itu dilakukan dari semasa ke semasa memandangkan kerajaan negeri mementingkan pendidikan Islam kepada rakyat demi untuk kecemerlangan hidup dunia dan akhirat.

“Daripada jumlah itu sebanyak RM9 juta dibelanjakan setiap bulan untuk membayar gaji kakitangan Yik termasuk guru-guru.

“Kita menghargai jasa mereka semua dalam mendidik pelajar menjadi insan cemerlang seimbang dunia dan akhirat,” ujarnya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) Madrasah Tarbiah Mardhiah Panchor Ke-42, dekat sini semalam. (Foto atas: Pelajar cemerlang menerima hadiah dari Mohd Amar Abdullah.)

Sempena mesyuarat agUng itu seramai lima pelajar diraikan iaitu Siti Najihah Abdullah dinobatkan sebagai Tokoh Akademik, Abdul Aziz Imran (Tokoh Tahfiz), Ahmad A’Limmuddin Bahrim (Tokoh Kokurikulum), Nik Muhammad Luqman Al Hakim Mohd Roslan (Tokoh Shahsiah) dan Abdul Mu’izz Abdul Razak (Tokoh Kepimpinan). – HARAKAHDAILY 19/11/2018