Persamaan yang melanggar sempadan Islam

KUALA LUMPUR: Tindakan meletakkan Islam sama seperti agama lain adalah salah dan orang Islam yang berbuat seperti itu telah melanggar sempadan ditetapkan syarak.

Advertisement

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, persamaan itu yang didakwa sebagai keadilan adalah satu kefahaman dibawa oleh Barat untuk diterima semua perkara secara sama rata.

Kerana itulah tegasnya, PAS menentang ICERD yang dihebohkan hari ini, sedangkan hakikat keadilan adalah meletakkan sesuatu kena pada tempatnya.

“Ibu bapa yang ada anak 10 orang, tak sama dengan ibu bapa yang ada anak tiga orang. Tak boleh di atas nama adil, kita beri sama banyak. Mesti beza. Ini kita kena faham. Meletakkan sesuatu kena pada tempat.

“Orang Islam Bumiputera dalam keadaan ketinggalan, diatur oleh penjajah dulu (begitu). Orang bukan Islam diletak di bandar, menguasai perdagangan. Pantai Barat menguasai industri, pelabuhan.

“Orang Islam diletakkan sama banyak miskin. Kemudahan belajar dia lemah. Maka tak boleh sama orang Islam di samping jumlah mereka majoriti, kedudukan mereka lemah.

“Nak dihapuskan atas nama persamaan? Ini tak betul,” tegas beliau ketika menyampaikan Tausiyah Perdana Ambang Maulidur Rasul di Masjid Abidin, Kuala Terengganu, semalam.

Apatah lagi katanya, perbuatan orang Islam menganggap Islam sama serupa dengan agama lain adalah dasar yang salah dan wajib ditentang usaha meletakkan Islam di kedudukan sama dengan agama lain.

“Tidak boleh. Orang Yahudi kata Yahudi betul, Kristian tidak betul. Kristian kata Kristian betul, Yahudi tidak betul. Hindu kata Hindu betul, agama lain tak betul.

“Kita orang Islam wajib mengatakan Islam itu betul, kita beri hak kepada agama lain, tak ganggu dia. Tapi nak suruh kata agama lain betul juga macam Islam, itu tak boleh.

“Ini sempadan yang kita kena faham. Kita tak boleh langgar sempadan ini. Malangnya ada orang Islam yang tak faham, ataupun buat-buat tak faham.

“Nak berjuang di atas nama persamaan, nak jadikan Islam ini sama agama lain, ini tak boleh. Orang Islam mesti mengaku Islam adalah agama yang benar. Agama lain kita tak boleh ganggu,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 20/11/2018