Tulisan Cina: Junjung titah Sultan Selangor

TULAR di media sosial mengenai surat dari Pejabat DYMM Sultan Selangor berkenaan titah Baginda supaya semua papan tanda jalan yang mempunyai tulisan Cina di Shah Alam ditanggalkan dan digantikan dengan papan tanda jalan Bahasa Melayu sahaja. Titah Baginda tersebut ditujukan terus kepada YB Setiausaha Kerajaan Selangor agar pelaksanaannya dilakukan sebelum tarikh Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda kali ke-73 iaitu pada 11 Disember 2018.

Advertisement

Sekretariat Save Ummah menjunjung titah DYMM Sultan Selangor tersebut dan melihat tindakan tegas Baginda sebagai isyarat yang perlu diambil serius oleh pihak Kerajaan Selangor. Lebih-lebih lagi dengan isu panas yang melanda seluruh negara iaitu ICERD yang memberi impak negatif pada perkara sensitif termasuklah yang melibatkan institusi Raja-raja.

Menjadi persoalan bagaimana papan tanda jalan di Shah Alam ada yang ditulis bersama dengan tulisan Cina sedangkan sedia maklum majoriti penduduk di Shah Alam yang berbangsa Melayu beragama Islam. Maka tiada wajarnya tulisan selain Bahasa Melayu disekalikan lebih-lebih lagi Bahasa Melayu merupakan Bahasa Kebangsaan dan Shah Alam adalah ibu Negeri Selangor serta terletaknya istana Sultan Selangor di dalamnya selaku Ketua Agama di negeri ini.

Sekretariat Save Ummah memperingatkan Kerajaan Selangor agar “membuka mata” dengan isu-isu yang mencarik sensitiviti ummah sehingga perlunya campur tangan pihak istana dalam hal sebegini. Diharapkan titah DYMM Sultan Selangor menjadi isyarat dalam hal yang sedang hangat ini agar tidak ada mana-mana pihak termasuk pihak kerajaan yang berani menyentuh hal-hal yang melibatkan hak keistimewaan yang terpelihara sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan.

Sekretariat Save Ummah turut menggesa agar pelaksanaan ini tidak hanya terhad di Shah Alam sahaja tetapi dapat diperkuaskan ke seluruh Negeri Selangor bagi terus mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda dan Bahasa Kebangsaan.

USTAZ MOHD HANIF JAMALUDIN
Ketua Operasi
Sekretariat Save Ummah
Dewan Pemuda PAS Selangor

13 Rabiul Awal 1440H | 20 November 2018 – HARAKAHDAILY 20/11/2018