Balak: Fikir mekanisme baru untuk negeri

tuan ibr

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pusat perlu memikirkan mekanisma baharu untuk memberi pampasan kepada negeri-negeri sekiranya kerajaan membuat satu polisi untuk menghadkan penebangan balak mengikut peraturan sedia ada.

Advertisement

Pandangan tersebut dilontarkan oleh Ahli Parlimen Kubang Kerian, Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man semasa mencelah penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 oleh Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A. Xavier Jayakumar dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

“Isu besar dalam penebangan balak, kita setuju satu kawalan mesti dibuat oleh semua di peringkat negeri dengan kerjasama kerajaan pusat.

“Tetapi isu yang besar berlaku di peringkat negeri ialah sumber kewangan bagi menampung perbelanjaan negeri.

“Sebagai contoh di Pahang mempunyai rezab Taman Negara yang luas, kerajaan negeri hilang sumber pendapatan beribu hektar di situ,” katanya yang juga Timbalan Presiden PAS.

Menjawab perkara tersebut, Xavier yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat berkata, kerajaan akan melakukan kajian terperinci dan mengharap kerajaan negeri-negeri dapat memberi kerjasama dengan kerajaan pusat dalam perkara itu. – HARAKAHDAILY 21/11/2018