Bantah agenda tersirat ICERD, bukan anti kaum

KUALA LUMPUR: PAS mengajak rakyat bangun menentang usaha ratifikasi ICERD bukan kerana anti kepada kaum, bangsa dan agama lain, tetapi disebabkan wujud agenda tersembunyi pihak tertentu untuk membuang Islam dan hak-hak Bumiputera.

Advertisement

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, himpunan aman bakal diadakan 8 Disember depan sebagai menyatakan bantahan kepada Kerajaan PH kerana mahu melaksanakan dasar yang mengancam Islam dan Bumiputera itu.

“Kita tidak mahu mendengar kenyataan daripada pimpinan PH untuk menangguh ICERD ini dari disahkan. Itu adalah pernyataan yang lemah. Kita tidak mahu tangguh, kita mahu batalkan terus ICERD ini!” tegasnya.

Peringatan tersebut dilontarkannya ketika menyampaikan pidato pada Majlis Memperingati Peristiwa Memali yang dilangsungkan di perkarangan Madrasah Islahiah Diniah, Kampung Memali, Baling, malam tadi.

Menurut beliau, ICERD adalah perjanjian yang mahu menyamaratakan semua agama di mana hakikat sebenar tersirat adalah untuk membuang Islam serta hak-hak istimewa Melayu dan Bumiputera daripada Perlembagaan Persekutuan.

“Kita sebagai umat Islam perlu sedar jangan melihat yang tersurat sahaja, kita perlu melihat yang tersirat. Mereka kata nak sahkan ICERD ini kerana ia merupakan satu perkara yang menjadi perjanjian di peringkat antarabangsa, di atas asas hak asasi manusia. Di atas asas untuk memberikan keadilan kepada semua kaum, bangsa, penganut agama.

“Maka kena sama rata. Ini sama sekali bercanggah dengan ajaran Islam. Konsep keadilan Barat mestilah berlaku kesamarataan. Konsep keadilan di sisi Islam,  al-’Adlu ialah meletakkan sesuatu kena pada tempatnya. Tiba-tiba mereka nak bawa kefahaman Barat masuk dalam negara kita.

“Atas asas hak sama rata, semua kaum, bangsa, penganut agama kena sama rata. Islam agama Persekutuan, Islam mengajar kepada kita kesamarataan itu mestilah diletak di atas tempatnya yang betul,” hujahnya.

Kata Ustaz Khalil, perjuangan ICERD mahu menyamakan Islam dengan Hindu, Buddha, Kristian dan selainnya di mana PAS tidak menafikan masing-masing agama menganggap kepercayaan mereka adalah betul.

Topeng Liberal, Pluralisme

Namun ujarnya, jika mereka mendakwa agama dianuti betul maka seharusnya mengemukakan dalil, hujah dan bukti, bukannya dengan menyebar Bible kepada masyarakat Islam sebagaimana berlaku di Pulau Pinang dan Kedah.

“Ini di antara asas dan prinsip Islam Liberal yang hari ini mereka begitu lantang dalam Kerajaan PH. Islam Pluralisme menganggap semua agama adalah sama, dengan alasan semua agama mengajar kepada kebaikan.  Semua agama sama, guna logik semata-mata. Maka ICERD ini adalah satu perjanjian yang mahu menyamaratakan semua agama.

“Dengan sendirinya Islam sebagai agama Persekutuan dalam Perlembagaan, akan dibuang. Walaupun mereka tak kata begitu, tetapi itu yang akan berlaku. Ayat-ayat yang digunakan ini, kita sebagai umat Islam kena faham betul-betul. Jangan kita terpengaruh, jangan kita termakan dengan ayat-ayat yang disalah ertikan ini. 

“Contohnya, orang kata, kamu akan mati. Yang kedua kata, kamu tak panjang umur. Dua-dua ini sama saja, tapi ayat berbeza. Samalah juga berkait dengan isu ICERD ini, mereka kata kami nak sahkan ICERD ini, orang Islam, Melayu, Bumiputera, jangan bimbang, kami tak akan sentuh Islam dan hak-hak istimewa orang Melayu Bumiputera dalam Perlembagaan.

“Itu apa yang mereka kata, ayat mereka. Tetapi hakikat yang sebenar yang tersirat, Islam akan dibuang daripada Perlembagaan. Hak-hak istimewa orang Melayu Bumiputera akan dibuang. Kerana kalau tidak dibuang, mana mungkin akan berlaku kesamarataan di antara orang Islam, Buddha, Hindu, Melayu, Cina, India dan lain-lain lagi,” dedahnya lagi. – HARAKAHDAILY 21/11/2018