Kelantan tidak halang aktiviti e-Sukan

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan tidak akan menghalang aktiviti e-Sukan (Sukan Elektronik) selagi ia tidak mengundang perkara negatif kepada anak-anak muda.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Wan Roslan Wan Hamat berkata, sukan berkenaan kini menjadi perhatian sebahagian remaja di Malaysia.

Katanya, pada masa yang sama ia dilihat mampu diketengahkan sebagai aktiviti yang dapat menjamin masa depan golongan belia.

“Aktiviti itu bukan sekadar mengisi masa lapang sebaliknya dapat mendatangkan ganjaran lumayan.

“Terutama melalui pertandingan yang sering dianjurkan di luar negara,” katanya ketika merasmikan Bengkel Pengenalan Esport di Dewan Kuliah Utama Institut Latihan Perindustrian Pengkalan Chepa, di sini semalam.

Hadir sama Timbalan Pengarah Institut Latihan Perindustrian Kota Bharu, Mohamad Hazmi Noordin. – HARAKAHDAILY 21/11/2018