Walimatul Urus Perdana PAS Temerloh

TEMERLOH: PAS Kawasan Temerloh telah menjayakan Walimatul Urus Perdana Siri Keempat melibatkan 11 pasangan pengantin yang dilangsungkan di Taman Temerloh Jaya, di sini kelmarin dahulu.

Advertisement

Majlis berskala besar tersebut sepenuhnya digerakkan dengan kewangan dan tenaga daripada ahli-ahli serta penyokong PAS yang membuktikan kemampuan PAS dalam agenda kebajikannya.

Yang DiPertua PAS Temerloh, Md Jusoh Darus berkata, walaupun tanpa kuasa pemerintahan kerajaan, PAS telah menunjukkan keupayaannya melaksanakan usaha sedemikian terhadap kepentingan masyarakat.

Menurutnya, dengan kemampuan sedemikian seharusnya menjadi penilaian masyarakat untuk turut meletakkan kepercayaan kepada PAS bagi mengurus dan menerajui pemerintahan negeri tersebut.

Majlis tersebut diacarakan dengan kos RM2,500 bagi setiap pasangan pengantin serta melibatkan undangan 7,000 tetamu dan turut dimeriahkan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar dan Adun Chenor, Ustaz Mujiburahman Ishak.

Menurut Pengarah Walimatul Urus Perdana, Azizul Hakimi Hasan, program sedemikian memudahkan urusan anak-anak muda di kawasan tersebut melangsungkan majlis bersejarah mereka.

Bahkan katanya, melalui majlis itu juga menjadi medium memupuk muafakat komuniti masyarakat pelbagai kaum, agama dan pegangan politik. – HARAKAHDAILY 21/11/2018