Hutang PTPTN: Menteri jangan jadi ‘Ah Long’!

PADA 2 November 2018 yang lalu, sejarah hitam bagi anak muda Malaysia telah tercipta apabila Menteri Kewangan Malaysia, melalui pembentangan Bajet 2019 telah mengusulkan satu polisi yang sangat membebankan anak muda iaitu sistem potongan gaji secara automatik bagi peminjam PTPTN yang berpendapatan lebih daripada RM1,000.00.

Advertisement

Anak muda juga digemparkan dengan dasar potongan hutang (belum diketahui berapa peratus) yang diberikan hanya kepada mereka yang datang daripada keluarga B40 dan mendapat kelas pertama dalam pelajaran mereka.

Anak muda dikecewakan lagi apabila Menteri Pendidikan Malaysia ketika sesi penggulungan Bajet 2019 pada 19 November 2018 di Parlimen langsung tidak membahaskan isu PTPTN yang zalim ini dan tidak menunjukkan sebarang komitmen untuk mengubah polisi yang menekan anak muda ini.

Jelas terbukti dalam Bajet 2019 bahawa polisi pembayaran hutang PTPTN Kerajaan PH lebih kejam terhadap anak muda berbanding Kerajaan Umno atau BN.

Kami anak muda konsisten mengatakan bahawa hutang wajib dibayar dan ia adalah tanggungjawab asas bagi setiap orang Muslim.

Rasulullah S.A.W bersabda :

“Barangsiapa yang mati dalam keadaan masih memiliki hutang satu dinar atau satu dirham, maka hutang tersebut akan dilunaskan dengan kebaikannya (di hari kiamat nanti) kerana di sana (di akhirat) tidak ada lagi dinar dan dirham.”

(Riwayat Ibnu Majah)

Namun kami juga ingin mengajak kerajaan untuk memahami bahawa Islam mempunyai konsep yang jelas, adil, dan bertimbang rasa dalam isu pembayaran hutang.

Allah S.W.T berfirman :

وَإِن كَانَ ذُو عُسْرَةٍ فَنَظِرَةٌ إِلَىٰ مَيْسَرَةٍ ۚ وَأَن تَصَدَّقُوا خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya:

 “Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).”

(al-Baqarah: 280)

Allah S.W.T secara jelas telah memerintahkan kepada orang yang memberi hutang untuk memberikan masa kepada orang yang berhutang sehingga mereka mampu untuk keluar daripada kesempitan hiup mereka.

Dasar kerajaan yang memperkenalkan dasar potongan secara automotik bagi graduan universiti adalah sangat zalim dan menekan hidup anak muda Malaysia.

Rasulullah S.A.W telah mengingatkan:

“Sesiapa yang menuntut satu haknya (seperti hutang) maka tuntutlah dengan cara yang baik tanpa mengira (orang yang berhutang itu) membayar balik atau tidak membayarnya”

(Riwayat Ibnu Majah)

Rasulullah S.A.W bersabda:

“Barangsiapa memberi tempoh waktu bagi orang yang berada dalam kesulitan untuk melunaskan hutang atau membebaskan hutangnya, maka dia akan mendapat naungan Allah.”  

(Riwayat Muslim)

Kerajaan sepatutnya memperkenalkan polisi ekonomi yang membantu pemerkasaan ekonomi anak muda, bukannya menekan hidup anak muda.

Menurut statistik Tenaga Buruh Malaysia 2017 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Negara, kadar pengangguran berada di dalam kadar yang merisaukan bakal graduan iaitu 3.5 peratus bagi tahun 2017 atau seramai 504,100 orang penganggur berbanding hanya 3.1 peratus bagi tahun 2015.

Bank Negara Malaysia telah merekodkan di dalam Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2017 bahawa seorang dewasa bujang perlu memperoleh RM2,700 sebulan sebagai gaji minima untuk menyewa bilik, makan di luar, memasak sekali sekala dan menggunakan pengangkutan awam.

Bagi pasangan dengan dua anak, Bank Negara Malaysia menegaskan, pendapatan minimum bulanan bagi mereka ialah sebanyak RM6,500 untuk menyewa pangsapuri tiga bilik, memiliki dua kereta, membayar pusat jagaan kanak-kanak dan kelas tuisyen, serta makan di luar pada hujung minggu.

Menurut data kajian yang dilakukan oleh KPT (Kajian Pengesanan mahasiswa 2016), sebanyak 89.1 peratus daripada mahasiswa graduan diploma yang berkerja mempunyai pendapatan sebanyak RM2,000.00 dan ke bawah sebulan dan sebanyak 48 peratus mahasiswa graduan ijazah pertama mempunyai pendapatan RM2,000.00 dan ke bawah.

Melalui fakta di atas, jelas ternyata bahawa hampir keseluruhan graduan bertaraf diploma dan hampir separuh graduan ijazah tahap pertama yang hidup di bawah tahap gaji minima seperti yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia

Kami anak muda menyeru kepada kerajaan agar tidak bertindak seperti Ah Long yang mengutip hutang secara paksa kerana ia adalah tindakan yang tidak berperikemanusiaan dan bertentangan dengan prinsip Islam.

Kembalilah kepada nilai-nilai Islam, gaya pemerintahan Islam, dan akhlak Islam, insyaAllah negara akan selamat dan mendapat keberkatan daripada Allah S.W.T.

Sekian. Terima kasih.

“Istiqamah Bersama Islam”

MUHAMMAD FAIZZUDDIN MOHD ZAI
Presiden
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) – HARAKAHDAILY 22/11/2018