Kompilasi Majlis Hak Asasi PBB terhadap M’sia

LAPORAN ini adalah kompilasi beberapa maklumat yang terdapat di dalam laporan badan-badan triti yang berkaitan serta dokumen PBB yang lain, khususnya dari pihak yang terlibat di dalam Kajian Berkala Universal kali ke-31 atau Universal Periodic Review (UPR) Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang dianjurkan dari 5-16 November 2018 baru-baru ini.

Advertisement

Walau bagaimanapun, maklumat yang dikemukakan organisasi yang menyumbang kepada laporan ini seperti UNCT Malaysia, UNESCO dan UNHCR tidak menggambarkan pandangan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB.

Terdapat beberapa maklumat yang ingin saya kongsikan dari laporan ini, antaranya ialah:

●    Permintaan buat Malaysia untuk meratifikasikan baki keenam-enam Konvensyen yang masih belum diratifikasikan, antaranya ialah:
(1).     ICCPR – Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik.

(2).     ICPPED – Konvensyen Antarabangsa untuk Perlindungan Semua Orang dari Kehilangan yang Dipaksa.

(3).     ICERD – Konvensyen Antarabangsa mengenai penghapusan semua bentuk diskriminasi kaum.

(4).     CAT – Konvensyen terhadap Penyeksaan dan Kezaliman Lain atau Hukuman yang Kejam, Tidak Manusiawi atau Layanan Buruk.

(5).     ICESCR – Kovenan Antarabangsa mengenai Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya.

(6).     ICRMW- Konvensyen Antarabangsa mengenai Perlindungan Hak Semua Pekerja Migran dan Anggota Keluarga Mereka.

●     Permintaan buat Malaysia untuk mengambil langkah-langkah berkesan dalam memastikan Undang-undang Sivil dan Syariah mematuhi sepenuhnya peruntukan-peruntukan yang terdapat di dalam Konvensyen CEDAW (Konvensyen mengenai penghapusan segala bentuk diskriminasi terhadap Wanita) di peringkat Kerajaan Tempatan, Negeri dan Persekutuan.

●     Permintaan buat Malaysia untuk menubuhkan PSC (Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen) untuk Hak Asasi seperti yang dicadangkan oleh Suhakam.

●     Mereka menyambut baik keputusan Kerajaan lama untuk menubuhkan Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRAP) pada 1 Mac 2018. Walau bagaimanapun, mereka mahu pelan itu dinilai segera dan ditulis semula oleh ‘pakar-pakar Hak Asasi Manusia’ dalam memastikan pelan itu selari dengan Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia (UDHR) serta komitmen Kerajaan Baru di dalam Manifesto mereka.

●     Jawatankuasa CEDAW mahu Malaysia mengamalkan strategi yang komprehensif dengan langkah-langkah proaktif dan berterusan, yang mensasarkan wanita dan lelaki di semua peringkat masyarakat, termasuk pemimpin-pemimpin agama dan tradisional agar diskriminasi stereotaip dan sikap patriarki yang berkait rapat dengan peranan dan tanggungjawab wanita dan lelaki dalam keluarga dan masyarakat dapat dihapuskan.

●     Jawatankuasa CEDAW mahu Malaysia meminda kesemua peruntukan-peruntukan yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan yang mengekang atau menafikan hak yang sama rata terhadap wanita dalam isu pemindahan status kerakyatan mereka terhadap anak-anak hasil dari perkahwinan mereka dengan rakyat asing.

●     Mereka membangkitkan sikap diskriminasi dan pencabulan Hak Asasi Manusia terhadap LGBT di Malaysia termasuk retorik stigma oleh ahli politik, pegawai awam dan pemimpin agama selama beberapa dekad ini termasuk hukuman terhadap hubungan sejenis.

●      OHCHR kecewa dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengembalikan seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan (1992), Enakmen yang menghukum wanita Transgender kerana penampilan, di mana mereka tertakluk kepada denda dan tempoh enam bulan penjara.

●     Mereka membangkitkan isu hukuman mati yang masih dijalankan untuk kesalahan tertentu.

●     Jawatankuasa CEDAW masih bimbang dengan hukuman sebat terhadap wanita oleh Mahkamah Syariah kerana bercanggah dengan Kanun Tatacara Jenayah dan mahu Malaysia mengharmonikan Undang-undang Syariah dengan seksyen 289 Kanun Tatacara Jenayah itu agar hukuman sebat terhadap wanita dapat dicegah.

●     OHCHR melahirkan kebimbangan penguatkuasaan Majlis Keselamatan Negara semenjak Ogos 2016 di mana Perdana Menteri mempunyai kuasa keselamatan yang menyeluruh, yang mungkin boleh menyekat kebebasan sivil.

●     Mereka mahu kebebasan bersuara dalam isu agama dan menuntut agar Akta Hasutan 1948 dihapuskan.

●     Mereka melahirkan kebimbangan terhadap kekangan kawalan dan kadangkala pengharaman amalan budaya dan artistik di Kelantan termasuk juga di peringkat Pusat khususnya terhadap pengarang, penerbit, pembuat filem dan artis. Mereka mahu Akta Hasutan dihapuskan serta mahu memastikan pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia adalah selari dengan piawaian antarabangsa dari aspek kebebasan bersuara serta hak budaya. Termasuklah pemansuhan badan penapisan dan proses yang berkaitan.

●     Jawatankuasa CEDAW mahu jaminan dari Malaysia dari aspek Hak Kebebasan untuk beragama atau mengamalkan kepercayaan termasuk hak individu untuk menukar agama dari Islam kepada agama lain serta kepercayaan.

●     Mereka kecewa dengan laporan bahawa penganut Syiah tidak dapat bersembahyang dengan bebas dan mungkin terpaksa melalui halangan untuk menjalankan ritual agama dan budaya.

●     Mereka mahu kesemua bentuk FGM (mutiliasi kemaluan wanita) dimasukkan ke dalam Kanun Tatacara Jenayah serta tidak boleh dilangkaui oleh mana-mana Fatwa atau arahan pihak berkuasa agama.

●     Mereka mengalu-ngalukan keputusan kes Indira Gandi di mana ia telah mengesahkan bidang kuasa Mahkamah Sivil ke atas Undang-undang Syariah serta tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa Agama Islam.

●     Mereka melahirkan kebimbangan bahawa wanita Muslim tidak diberi hak yang sama rata dengan lelaki di dalam Undang-undang Keluarga Islam termasuk kelonggaran dalam berpoligami.

●    Jawatankuasa CEDAW mendakwa perkahwinan yang melibatkan kanak-kanak masih dibenarkan di bawah Undang-undang Keluarga Islam. Mahu umur sah ditetapkan pada usia 18 tahun seperti yang telah ditetapkan dalam standard hak asasi antarabangsa. – HARAKAHDAILY 22/11/2018