Peranan Malaysia penting tangani ‘genocide’ Rohingya

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia perlu meneruskan usaha membantu menangani penghapusan (genocide) etnik Rohingya melalui advokasi dan lobi kepada badan-badan dunia.

Advertisement

Menurut Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS – Sik), penindasan ke atas etnik itu sejak berdekad lama telah menjadi kudis dan barah terhadap keharmonian serta kestabilan rantau ini.

Beliau juga berharap pihak kerajaan meneruskan bantuan kemanusiaan ke Kem Pelarian (IDP) dalam wilayah Rakhine, Myanmar atas nama Parlimen Malaysia sebagaimana pernah dibuat ke IDP di Bangladesh tahun lalu.

Perkara itu dinyatakan beliau ketika mengemuka soalan tambahan kepada Menteri Luar Negeri dalam perbahasan pada Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, di sini hari ini.

Beliau memuji suara Malaysia di PBB, New York baru-baru ini yang telah ditegaskan sendiri oleh Perdana Menteri dan disusuli teguran terhadap Aung Aan Suu Kyi semasa Sidang Kemuncak Asean di Singapura.

Pun demikian, Malaysia ujarnya, perlu mempunyai rancangan penyelesaian terhadap kekejaman yang masih berlaku terhadap umat Islam Rohingya dan penduduk Kristian Kachin.

Beliau turut berharap kerajaan mempertimbangkan syor-syor penghakiman akhir dikemuka Tribunal Awam Tetap Mengenai Rohingya anjuran JUST, CENTHRA dan International Forum for Buddist-Muslim Relation.

“Adakah kerajaan akan usulkan satu resolusi ke Majlis Keselamatan PBB meminta menubuhkan Tribunal Jenayah Khas Antarabangsa (ICT) untuk Myanmar, seperti pernah dilakukan dahulu dengan penubuhan ICT Yugoslavia dan Rwanda?

“Ini memandangkan prinsip ASEAN tidak campur tangan dan usul untuk mendakwa Myanmar ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa nampaknya sukar diteruskan, maka cadangan Tribunal tersebut adalah alternatif.

“Lagipun, Myanmar telah meratifikasi Konvensyen Genosid 1951,” ujarnya yang yakin suara kuat Malaysia banyak mengimbangi tekanan dihadapi kaum Mustad’afin Rohingya oleh kekejaman di negara itu. – HARAKAHDAILY 22/11/2018