Kesabaran PAS natijahkan perubahan rakyat

KUALA LUMPUR: Sekalipun kalah pilihan raya dan dicantas ranting serta dahan-dahannya, PAS tidak jatuh kerana mempunyai akar dan tunjang yang kuat.

Advertisement

Sebaliknya ranting dan dahan yang dipatah serta dipacak di tempat lain atas nama PAN serta nama lain itu pula akan kering apabila tiba masanya.

Sedang pohon PAS yang dicantas ranting dan dahannya itu menumbuhkan tunas-tunas baharu, demikian menurut Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Perumpamaan itu diungkapkannya ketika mengadakan kunjungan ke tapak pembinaan Kompleks PAS Kawasan Baling di Kupang, Baling kelmarin.

Katanya, Allah S.W.T tidak mengizinkan cahaya Islam dipadamkan, sebaliknya tetap akan menyempurnakan agama-Nya walaupun dibenci orang-orang kafir yang menentang.

Hal tersebut ujarnya, dihadapi Islam sejak dahulu di mana berhadapan kuasa besar dunia Rom dan Parsi, serta umat yang murtad setelah kewafatan Rasulullah.

“Walaupun tak ada lagi Rasul, (tetapi) Allah melahirkan kumpulan dan parti-parti Islam di seluruh dunia. Termasuk di negara kita, para ulamak menubuhkan PAS.

“Tujuannya mengumpulkan umat Islam supaya bersatu, kembali semula memerintah. Tapi kita menghadapi orang Islam yang tenggelam dalam kejahilan.

“Peristiwa Memali yang berlaku di Baling mengorbankan syuhada’ kerana bertembung dengan orang-orang Islam yang jahil; menentang, menghina dan merendah-rendahkan hukum Islam,” ujarnya.

Menurut beliau, Asy-Syahid Ustaz Ibrahim Mahmud antara yang bangkit menyedar dan menasihat orang Islam supaya jangan menghina hukum Allah.

Malangnya kata beliau, orang yang dinasihat itu jahil dan bebal, maka dilawannya menyebabkan ramai pemimpin PAS dipenjara, buang daerah dan mati menjadi mangsa kezaliman.

Namun PAS terangnya, tetap sabar menghadapi kejahilan kaum sendiri dan hasilnya kini melihat perubahan di mana tiada lagi memisahkan agama dengan politik.

“Masing-masing mengaku nak kepada Islam. Tetapi masih belum memilih parti kita dalam pilihan raya,” jelasnya terhadap perubahan tersebut dengan menyingkap cabaran pernah dilalui.

Bahkan hujahnya, kekuatan PAS terlihat di kawasan-kawasan ditandinginya yang memiliki jumlah pengundi sangat besar berbanding tempat lain.

Parlimen di negeri yang PAS kuat katanya, mempunyai sehingga 100,000 pengundi, sedangkan Parlimen di negeri lain hanya sekitar 30,000 pengundi.

Pun begitu, beliau mengajak terutamanya ibu bapa untuk membuka kesedaran khususnya anak-anak muda berusia 21 hingga 30 tahun terhadap kepentingan politik dan mengundi.

Menurut Tuan Guru, golongan itu yang tidak didedahkan dengan pengajian agama dan bergantung kepada internet serta telefon telah lalai dan leka.

Sedangkan katanya, orang yang menyedari kepentingan politik mereka sanggup balik walaupun bekerja di negara jauh semata-mata untuk mengundi.

Hal tersebut nyata beliau, menyebabkan jumlah kerusi dimiliki bukan Islam lebih ramai dari Ahli Parlimen Islam, sedangkan orang Islam adalah majoriti di negara ini. – HARAKAHDAILY 26/11/2018