Nilai sejarah dalam perjuangan

PAS adalah sebahagian daripada sejarah pembinaan negara Malaysia, sama ada sebelum atau selepas kemerdekaan. Sama seperti Umno. Bezanya, masing-masing berjalan dalam arah masing-masing. Samanya, masing-masing telah meninggalkan kesan tapak kaki masing-masing dalam sejarah. Ia takkan terpadam.

Advertisement

Hari ini, sama ada PAS atau Umno, jatuh bangun masing-masing adalah bersambungan daripada sejarah lama sehingga 70 tahun yang lalu. Jika mereka menang, sejarah perjuangan mereka menjadi sebahagian daripada sebab kemenangan itu. Jika mereka kalah, maka begitulah, sejarah mereka adalah menjadi sebahagian daripada sebab kekalahan itu.

Jikalah ahli PAS atau Umno hari ini bekerja dan berjuang untuk masa depan negara tanpa mengenali sejarah awal perjuangan masing-masing, maka ia menjadi amat cacat. Perjuangan menjadi putus. Perjuangan yang putus akan hanyut dan gagal menuju destinasi sebenar. Ia seperti sebuah perjuangan yang baru bermula.

Itu mudah sahaja difahami. Anda tidak mungkin menjadi pejuang Islam sejati sehinggalah anda mengikat perjuangan anda sekukuhnya dengan perjuangan awal yang dimulai oleh RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam, para sahabatnya dan para pejuang Islam sepanjang zaman. Rantaian perjuangan tidak boleh putus sama sekali. Jika tidak, perjuangan pasti menjadi lemah atau terus sahaja terpesong.

Bukankah anda perhatikan, ramai mana kumpulan Islam yang sesat? Mengapa? Ya, kerana mereka memesongkan sejarah dan isi asal agama dan perjuangan baginda al Rasul.

Begitulah juga semua perjuangan, apa pun nama, matlamat dan isinya. Semuanya berakar dan bertunjang dengan sejarah masing-masing. Kerana itulah, sejarah adalah mendarah daging dalam kehidupan umat manusia. Ia mencetus mukjizat dan kekuasaan di dalam diri dan umat. Manakala haiwan binatang pula, mereka hidup tanpa sejarah. Hidup mereka adalah hidup tanpa perjuangan dan tamadun. Itu bukan cara hidup manusia.

Justeru PAS dan Umno terlalu berhak untuk menoleh ke belakang, melihat dan memperbaharui kekuatan mereka dengan sejarah awal mereka. Mereka berkongsi banyak perkara yang tidak dikongsi oleh parti-parti politik lain baru yang sedang bersaing dan bersabung di pentas politik negara hari ini. Ya, masing-masing dengan sejarah masing-masing.

Begitulah juga secara umum kita sebagai rakyat Malaysia. Kita ada sejarah kita. Belajar sejarah kita dulu sedalamnya sebelum belajar ‘sejarah Taiwan’. Umat Islam ada sejarah mereka. Belajar sejarah tamadun Islam dulu sebelum belajar sejarah tamadun barat.

Jika anda menoleh kepada sejarah anda semasa di alam remaja dahulu, ia bukanlah untuk anda kembali hidup di zaman itu. Ia adalah untuk anda membetulkan kembali binaan susuk tubuh dan jati diri agar anda menjadi lebih anda, lebih sihat dan gagah untuk mendepani hari-hari mendatang.

Sejenak. Adakah anda fikir bahawa generasi DAP hari ini telah melupai atau mengubah haluan perjuangan yang dibina oleh generasi awal mereka dulu? Tidakkan? Kejayaan mereka hari ini, sejarah perjuangan mereka adalah sebahagian daripada faktor kejayaan itu.

Matlamat mereka tak berubah. Sekarang masa untuk mereka mencapai dan mengaut apa yang mereka impikan untuk Malaysia sejak lama. DAP sedang memahat sejarah Malaysia baru dengan tangan mereka. Itu kejayaan mereka. Maka menjadi hak merekalah untuk membina Malaysia semahu mereka.

Merempuh ganas bahtera DAP adalah salah. Ia adalah khianat terhadap perjanjian kita sebagai warganegara yang mesti hidup aman sentosa dan menghormati keluhuran undang-undang. Tetapi memintas bahtera DAP adalah persaingan yang benar. Siapa mendahului, dia adalah pemandu negara. Ya, selepas 60 tahun, Umno-BN dipintas DAP-PH. Apa nak dikata?

Apabila sebahagian ahli PAS meminggirkan sejarah perjuangan sendiri, mereka karam, terhumban dari bahtera besar dan terpaksa berakit dan menumpang di bahtera lain yang sedang bersaing. Mereka menikmati kejuaraan bersama enam bulan yang lepas, tetapi sejarah mereka putus dan terpaksa memulakannya semula. Tragisnya, mereka terpaksa menumpang di dek kapal besar lain untuk tidak tenggelam. Apapun, mereka bertawa riang walaupun tanpa sejarah lama perjuangan.

Bagaimana kekaraman mereka bermula? Ya, secara mudahnya, mereka berkata, kita berjuang berpuluh tahun menentang Umno. Maka matlamat kita akan tercapai dengan menumbangkan Umno. Itulah kata-kata mereka yang berulang-ulang. Ia menjadi motivasi dan azimat perjuangan.

Mereka lupa dan lalai dengan kelalaian yang amat dahsyat. Benarkah PAS ditubuhkan dengan matlamat menumbangkan Umno? Jika begitu, alangkah remehnya matlamat PAS! Jika tidak begitu, maka alangkah remehnya mereka yang memahaminya begitu.

PAS ditubuhkan untuk mencapai matlamat Islam. Matlamat Islam adalah menjadi matlamat PAS. PAS ditubuhkan kerana tuntutan Islam yang menuntut wujudnya sekumpulan daripada umatnya untuk berada di saf utama dan hadapan memperjuangkan Islam dan membentenginya daripada serangan musuh. Islam adalah deen (agama) dan daulah (negara).

Mengalahkan Umno bukanlah matlamat PAS. Umno hanyalah halangan awal perjuangan PAS menuju matlamat. Jika menentang Umno sudah menjadi matlamat perjuangan, maka ia sepertilah memintas basikal lumba lawan dengan menaiki motosikal kawan. Anda memintas, tetapi anda gagal mencapai garis penamat perlumbaan basikal. Matlamat perlumbaan bukan hanya dengan memintas lawan, tetapi sampai ke garis penamatnya yang sebenar.

Sekarang mereka memintas Umno-BN dengan menumpang DAP. Mereka lupa, DAP bukan bermatlamat memintas Umno. Matlamat DAP, para pemimpin dan ahli mereka tidak pernah lupa. Bagi DAP, samalah macam PAS, memintas Umno bukan matlamat. Matlamat DAP adalah memahat sejarah baru Malaysia dengan ‘Malaysian Malaysia’.

Sekarang parti serpihan PAS sedang bertenggek di dek kapal PH sambil melaung slogan ‘Rahmatan’ sambil memakan rambutan. ‘Rahmatan wa rambutan’. Ia akan berakhir sia-sia. Ia sejarah perjuangan ‘tergesa-gesa’ yang berulang-ulang tanpa teladan. Begitulah ujian dan tribulasi perjuangan Islam. Ia penuh hikmat dalam penciptaan Allah terhadap kehidupan manusia di bumi ini. Istiqamah adalah keramat perjuangan.

Inilah realiti sebuah perjuangan yang melupai sejarah asal perjuangan itu. Umno leka. Mereka gagal mengingati sejarah perjuangan asal mereka memerdekakan negara dan membina semula tanah air. Kuasa, wang, kemasyhuran dan mainan-mainan duniawi telah semakin melekakan mereka daripada perjuangan asal orang-orang terdahulu.

Jika ada yang sedar dan insaf, ia terlalu lemah untuk menahan arus kelekaan yang terlalu kuat. Saat ramai tersedar, ia sudah terlambat. DAP dengan pertolongan pendayung-pendayung baru daripada parti serpihan PAS dan rakan-rakan yang lain dalam PH akhirnya memintas Umno-BN.

Mengapa? Sejarah adalah merupakan sebahagian daripada sebab dan faktornya. Sejarah lama Umno yang dilupakan dan juga sejarah kelalaian generasi Umno yang baru.

Apa yang terjadi pada Umno boleh saja terjadi kepada PAS. Tetapi PAS diselamatkan oleh kesedaran. Kealpaan telah tercampak keluar daripada bahteranya lebih awal sebelum PRU14. Bersyukurlah, PAS menang lebih baik dan lebih gagah.

Justeru ketika isu ratifikasi ICERD memanaskan politik negara, jalan paling selamat untuk memahaminya adalah dengan mengikat diri pada talian sejarah pembinaan negara. Ahli PAS dan Umno mesti mengamatinya. Begitulah seluruh rakyat Malaysia. Ingat, jika ada pembina negara, akan adalah juga peruntuhnya. Itu persaingan dalam sunnatuLlah atau hukum alam ciptaan-Nya.

Mari membina negara kita dengan agama Islam yang unggul dan benar. Di situlah tertegaknya kesejahteraan, keadilan dan kejayaan di dunia dan akhirat. – HARAKAHDAILY 25/11/2018