Ulama diseru jadi penyelamat rakyat

BALING: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, peranan ulama bukan sekadar mengajar ilmu tetapi untuk menyelamatkan umat, rakyat, pemimpin dan kerajaan.

Advertisement

Beliau berkata demikian pada program perjumpaan tertutup tuan-tuan guru pondok bersama Presiden PAS anjuran Madrasah Misbahul Falah, Pondok Lanai.

Majlis itu mendapat sambutan dengan kehadiran sekitar 100 tuan-tuan guru, mudir dan asatizah daripada lebih 50 pondok dan madrasah di seluruh negeri Kedah

Jsuteru, beliau menyeru para ulama dan tuan guru pondok untuk beriltizam dengan jemaah Islam yang menepati ciri-ciri Al-Quran, melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar

Menurut beliau, ulama perlu bermuhasabah dan wajib berjemaah walaupun berkhilaf tetapi tidak sampai berperang sesama sendiri

Tambahnya, ijtihad perlu dilakukan secara kolektif, secara berjemaah di samping gerakan dakwah dan ilmu perlu disemarakkan dalam masyarakat bagi menggagalkan gerakan penjajah.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, golongan ulama diberikan kelebihan oleh Allah dengan diberikan ilmu wahyu dan agama yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW dengan syarat ulama itu meneruskan tugas baginda.

Kata beliau, peranan khusus tuan guru pondok adalah untuk menggunakan pengaruh ulama dalam masyarakat dan meningkatkan peranan masjid untuk menyebarkan ilmu dan kefahaman Islam yang sebenar.

Dalam sesi soal jawab, Presiden PAS berkongsi saranan peranan ulama untuk menghadapi serangan pemikiran baru seperti sekularisme, sosialisme, liberalisme dan sebagainya.

Beliau juga menekankan kepentingan untuk membentuk pelapis para ulama dan pemimpin dengan memberikan ilmu, latihan kepimpinan dan pendedahan untuk persatuan pelajar

Tuan Guru juga menyarankan mereka untuk menguasai pelbagai bahasa khususnya Bahasa Melayu, Bahasa Arab, Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina.

Selain program bersama para ulama, Tuan Guru Presiden juga sempat menziarahi pusara As-Syahid Ustaz Ibrahim Libya dan Al-Marhum Tuan Guru Haji Omar Zuhdi dan melawat tapak pembinaan Kompleks PAS Baling yang sudah siap fasa pertama, dan masih memerlukan sumbangan infaq dengan kos RM3.5 juta.

Kemuncak program Tuan Guru di Baling semalam adalah menyampaikan ceramah di hadapan ribuan hadirin dan merasmikan Galeri Madrasah Misbahul Falah yang merupakan rumah Al Marhum Tuan Guru Omar Zuhdi. Turut hadir, Pesuruhjaya PAS Kedah Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi. – HARAKAHDAILY 25/11/2018

U1

U2

U5