Ulamak dan pondok teras kekuatan umat

KUALA LUMPUR: Para ulamak telah menggerakkan peranan memimpin kebangkitan umat biarpun menghadapi pelbagai cabaran musuh serta dipinggirkan.

Advertisement

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, setelah 1,300 tahun, orang Islam mengalami kelemahan dan pemerintahannya yang tidak kuat berpegang dengan Islam.

“Menyebabkan Kerajaan Islam jatuh satu demi satu sehingga hilangnya Khalifah yang berpusat di Istanbul tahun 1924. Orang Islam ditakluk musuh-musuhnya, Yahudi, Kristian, Musyrikin, Komunis dan lain-lain.

“Negeri orang Islam dipecah, diperintah, dibahagi-bahagikan sesama kuasa penjajah. Orang Islam dipecah-pecahkan,” ujarnya berucap di Ihtifal Jubli Intan 60 Tahun Madrasah Misbahul Falah, Baling kelmarin.

Namun katanya, umat Islam tidak berjaya dihapuskan musuh walaupun lemah dan tidak ada kerajaan, sebaliknya bangkit menentang penjajah dengan pimpinan para ulamak.

Terangnya, umat Islam yang pernah menghadapi Portugis, Belanda, British, Perancis dan Sepanyol bangkit menentang penjajah diketuai para ulamak dan Sultan-sultan pemerintah.

Beliau menyebut Mufti Perak, Dato’ Maharaja Lela dan Abdul Rahman Limbong, juga Tok Janggut, serta Pangeran Depo Negoro di Jawa dan Teuku Umar di Acheh antara ulamak tersebut.

Namun katanya, peranan mereka telah ditutup pengetahuannya oleh sejarah, sebaliknya mereka itu dituduh sebagai penjahat, dihukum gantung dan dibunuh.

Menyebabkan jelas beliau, penjajah membuat kajian dan Perdana Menteri British, William Ewart Gladstone berucap dalam Parlimen British menyatakan kekuatan orang Islam kepada tiga perkara.

Iaitu terang Tuan Guru, al-Quran, solat Jumaat dan menunaikan haji mendengar para ulamak menyampaikan pengajian di masjid-masjid di Makkah dan Madinah.

Pun begitu katanya, musuh Islam tidak berhenti melawan Islam di mana setelah ketenteraan, mereka masuk menerusi ilmu dengan membuka sekolah-sekolah Harakah Tansiriyah (Missionary).

Jelasnya, sekolah-sekolah Methodist, Convent dan seumpamanya dibuka penjajah gerakan Kristianisasi untuk meng-Kristiankan orang Islam, namun tetap tidak berjaya.

Begitu juga menurutnya, sekolah-sekolah kebangsaan diadakan untuk membasmi buta huruf, tetapi telah merumikan bahasa-bahasa al-Quran dan mengajar sejarah zaman jahiliyah.

Para ulamak jugalah menurut Tuan Guru, bangkit menubuhkan pondok dan madrasah pengajian, serta memimpin kesatuan umat menentang penjajah sehingga diharamkan, ditangkap, dibuang negeri dan dibunuh.

“Sehingga mereka (penjajah) terpaksa memberi kemerdekaan. Tetapi dipimpin pemerintahan itu dengan cara mereka, bukan cara Islam. Dilantik orang-orang yang boleh mereka pengaruhi.

“Penjajah sudah balik, Malaysia, Indonesia, Negara Arab merdeka, tapi timbul anak-anak penjajah yang mengamalkan cara hidup mereka,” ujarnya.

Terangnya, musuh muncul sebagai Komunis, Sosialis, Liberal, Kapitalis dan lain-lain perancangan politik untuk menguasai orang Islam, namun akhirnya jatuh juga.

Kini katanya, umat Islam di Malaysia menghadapi pula pemerintahan yang dikuasai oleh Ahli Parlimen bukan Islam dengan membawa agenda ICERD.

Terang beliau, mereka itu mahu menyamakan Islam dengan agama lain, termasuk bangsa, sedang parti-parti seperti Bersatu, PAN dan PKR tidak boleh diharapkan untuk mempertahankan hal tersebut.

“Kalau diizinkan ICERD ini, akan berlaku tidak seimbang, akan berlaku perkara-perkara yang tak elok, tak baik. Saya kata kalau kamu salah guna Parlimen untuk memenangkan ICERD, ketahuilah PAS boleh guna jalan raya untuk mengerah rakyat.

“Alhamdulillah Perdana Menteri membuat kenyataan, menghentikan perkara ini dibawa. Sudah cukup dan kita mengatakan syukur kepada Allah. Ini baru peringkat pertama, kita kena berjuang lagi. Perjuangan kita belum selesai.

“Khususnya perjuangan nak menjaga ilmu agama. Inilah teras kita, nak jaga kekuatan kita. Kena jaga baik-baik pondok kita. Ini roh kita, kekuatan umat. Kubu kita yang paling teguh dan kuat. Kena jaga baik-baik,” serunya. – HARAKAHDAILY 26/11/2018