Amaran terakhir buat Wan Saiful dan PH

PADA 24 November yang lalu, GAMIS bersama 400 mahasiswa daripada pelbagai kampus telah berarak daripada Masjid Jamek hingga ke Menara PTPTN untuk memberikan amaran kepada Wan Saiful Wan Jan dan Kerajaan PH untuk membatalkan polisi pembayaran hutang PTPTN yang menzalimi anak muda Malaysia.

Advertisement

Apa yang kami perjuangkan bukan sekadar menuntut Kerajaan PH tunaikan janji, bahkan ia adalah keperluan yang mendesak buat semua anak muda graduan IPT untuk menangguhkan pembayaran hutang PTPTN sehingga ekonomi mereka stabil seperti yang dijelaskan oleh Bank Negara Malaysia.

Kami mahasiswa kecewa dengan sikap Pengerusi PTPTN yang telah menikmati gaji yang besar namun malas berfikir untuk mencari jalan keluar daripada polisi yang menekan anak muda khususnya graduan IPTA dan IPTS di seluruh negara. Pengerusi PTPTN terlalu banyak memberikan alasan, sibuk mencari salah orang lain dan tidak nampak usaha yang dilakukan untuk meminda polisi yang menekan anak muda.

Kami juga kecewa dengan kenaifan Pengerusi PTPTN dalam hal ehwal konsep hutang yang telah digariskan oleh Islam melalui dalil al-Quran yang sahih dan sarih (jelas).

Allah S.W.T berfirman:

وَإِن كَانَ ذُو عُسْرَةٍ فَنَظِرَةٌ إِلَىٰ مَيْسَرَةٍ ۚ وَأَن تَصَدَّقُوا خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ.

Maksudnya:

“Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).”

(al-Baqarah: 280)

Rasulullah S.A.W juga telah bersabda:

“Barangsiapa memberi tempoh waktu bagi orang yang berada dalam kesulitan untuk melunaskan hutang atau membebaskan hutangnya, maka dia akan mendapat naungan Allah.”

(Riwayat Muslim)

Allah S.W.T secara jelas telah memerintahkan kepada orang yang memberi hutang untuk memberikan ruang masa kepada orang yang berhutang sehingga mereka mampu untuk keluar daripada kesempitan hidup mereka. Ini adalah tanggungjawab utama bagi pihak kerajaan dan PTPTN, bukan memaksa dan memeras ugut anak muda Malaysia.

Bank Negara Malaysia telah merekodkan di dalam Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2017 bahawa seorang dewasa bujang perlu memperoleh RM2,700.00 sebulan sebagai gaji minima untuk menyewa bilik, makan di luar, memasak sekali sekala dan menggunakan pengangkutan awam.

Menurut data kajian yang dilakukan oleh KPT (Kajian Pengesanan mahasiswa 2016), sebanyak 89.1 peratus daripada mahasiswa graduan diploma yang bekerja mempunyai pendapatan sebanyak RM2,000.00 dan ke bawah sebulan dan sebanyak 48 peratus mahasiswa graduan ijazah sarjana muda mempunyai pendapatan RM2,000.00 dan ke bawah.

Ini adalah fakta jelas yang Wan Saiful kena belajar dan fahami bahawa graduan IPT kebanyakannya berpendapatan di bawah paras gaji minima seperti yang telah ditetapkan oleh Bank Negara. Sekiranya polisi mekanisme pembayaran hutang PTPTN Pakatan Harapan diteruskan, maka ia akan menzalimi hidup anak muda Malaysia.

Kami daripada GAMIS bersedia untuk mengajar Wan Saiful bagaimana untuk mengurus PTPTN dan membantu ekonomi anak muda Malaysia sekiranya beliau masih terbuka hati untuk menunaikan janji.

GAMIS kecewa dengan sikap ambil mudah Pengerusi PTPTN yang terlalu malas untuk mengadakan sidang meja bulat bersama pemegang taruh di seluruh Malaysia. Apa yang beliau sibuk lakukan selepas menikmati gaji yang besar ialah menaja di merata tempat bahawa mekanisme untuk menangguhkan pembayaran hutang PTPTN adalah mustahil.

Himpunan pada 24 November yang lalu hanyalah amaran awal buat Wan Saiful dan Kerajaan Pakatan Harapan. Sekiranya kerajaan masih angkuh, melaksanakan polisi yang menzalimi anak muda, dan hanyut dengan kemewahan gaji yang besar, GAMIS tidak akan teragak-agak untuk mengadakan himpunan yang lebih besar daripada ini.

Sekian. Terima kasih.

“Istiqamah Bersama Islam”

MUHAMMAD FAIZZUDDIN MOHD ZAI
Presiden, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)

17 Rabiu’ Awwal 1440H / 26 November 2018M – HARAKAHDAILY 26/11/2018