Biadap: Kaitkan orang Islam dengan rusuhan

idris2

KUALA LUMPUR: Kenyataan pemimpin seperti Exco Kerajaan Selangor, V Ganabatirau bukan membantu perpaduan dan ketenteraman di negara ini malahan mengeruhkan suasana.

Advertisement

Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata, Adun DAP Kota Kemuning itu tidak layak untuk memimpin dalam masyarakat berbilang kaum.

“Sepatutnya kita sebagai pemimpin menjadi pendamai dan penyejuk keadaan,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, mengaitkan orang Islam yang melakukan adalah satu kenyataan yang biadab tanpa usul periksa.

“Apa tujuan beliau hendak kaitkan dengan orang Islam?

“Setelah dilanyak oleh rakyat berbilang kaum terus diedit tetapi sempat screen shoot untuk bukti,” katanya lagi.

Justeru, beliau menasihatkan Ganabatirau supaya menyiasat dahulu dan jangan mendahului pihak keselamatan terutama isu sensitif seperti yang berlaku itu.

“Kamu sebagai pemimpin sebuah negeri boleh dapat maklumat dengan tepat daripada pihak polis. Jangan berfikiran pembangkang, kamu sekarang sudah menjadi kerajaan,” katanya lagi.

Beliau turut mengulangi kenyataan pihak bekuasa bahawa kejadian awal pagi di kuil Sri Mariamman USJ 25 Putra Height bukan isu rusuhan kaum atau agama.

Justeru, beliau semua pihak supaya bertenang dan jangan ada pula cuba hendak mengaitkan dengan isu agama dan kaum.

“Jangan ambil tindakan sendiri. Jangan sebarkan berita yang tidak tahu mana sumbernya. Jauhkan provokasi,” ujar beliau.

Ustaz Idris mengingatkan semua pihak agar mendapatkan maklumat yang tepat daripada pihak berkuasa.

Katanya, biar pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan kepada siapa sekalipun.

Beliau juga mengharapkan semua pihak bertenang dengan insiden yang berlaku itu.

Sementara itu, polis memaklumkan insiden rusuhan di tapak Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Putra Heights awal pagi tadi, tidak membabitkan unsur perkauman, sebaliknya hanya perselisihan faham antara dua kumpulan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor, berkata kejadian kira-kira jam 2 pagi itu adalah kes terpencil berkaitan isu pemindahan kuil terbabit.

Justeru, beliau meminta orang ramai diminta menghentikan status atau mesej tular yang mengaitkan kejadian berkenaan dengan isu perkauman.

Katanya, pihak polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ke atas mana-mana individu yang cuba mencetuskan ketegangan kaum dan ketenteraman awam berhubung isu berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya. –HARAKAHDAILY 26/11/2018