Geopolitik dunia sekat Islam ternyata gagal

KUALA LUMPUR: Geopolitik dunia selepas era Perang Dingin dikuasai oleh agenda Barat yang bertujuan untuk menyekat kebangkitan semula Islam serta menghapuskannya, demikian menurut Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Advertisement

Terangnya, setelah gagal dalam gerakan penjajahan, musuh Islam melaksanakan pula agenda ‘al-Ghazwatul fikri’, serangan pemikiran dan ilmuwan bermula dengan gerakan Kristianisasi sepertimana penubuhan sekolah Convent, Methodist dan seumpamanya.

Katanya, usaha tersebut juga gagal, lalu dilakukan pula agenda ‘Taghrib’ iaitu mem-Baratkan orang Islam secara halus menerusi pembukaan sekolah kebangsaan, antaranya menukar huruf Arab ke huruf Latin.

Malah ujar beliau, dihidupkan sejarah-sejarah zaman jahiliyah sedangkan sejarah Islam dipendam, serta digalakkan semangat kebangsaan, pun begitu ilmu Islam tidak mati sebaliknya wujud pengajian di surau dan masjid.

“Bahkan kemajuan mereka pun diciplak daripada Tamadun Islam. Mereka belajar Tamadun Islam, ilmu-ilmu duniawi, tetapi disekularkan, dipisahkan daripada agama kerana Kristian agama yang tak sesuai dengan sains dan teknologi, lain dengan Islam.

“Mereka berjaya mengambil orang Islam untuk dididik dalam bidang-bidang sains, teknologi, dan ilmu-ilmu yang lain dengan harapan orang ini balik ke negeri masing-masing menjadi jentera kepada Barat,” bentangnya.

Namun katanya, perkara itu sebagaimana tulis Almarhum Abul Hasan Ali an-Nadwi adalah seperti kisah arahan membunuh anak-anak lelaki, tetapi Nabi Musa A.S yang menjatuhkan Firaun itu dibesarkan dalam istananya sendiri.

Hal tersebut kemukanya, apabila semangat kembali kepada Islam lahir di universiti-universiti Barat dalam kalangan ilmuwan Islam yang dididik oleh Barat sendiri, lalu disebarkan pula agenda Islamofobia.

Sebaliknya terjadi kata beliau, apabila orang mula membaca mengenai Islam hinggakan al-Quran terjemahan semakin laris di negara-negara Barat dan kebangkitan Islam berlaku di negara bekas Komunis.

Cabaran dalaman umat

Begitu juga ceritanya, negara umat Islam walaupun selepas mencapai kemerdekaan, tetapi terpengaruh dengan Perang Dingin apabila masing-masing memasuki blok Timur dan blok Barat hingga bertarung sesama sendiri.

Bahkan menurutnya, hingga diuar-uar dengan menisbahkan Islam kepada idealogi bukan Islam di mana lahirnya Sosialisma Islam, Kapitalisma Islam, Demokrasi Islam, Komunisma Islam dan lain-lain lagi.

Malah kata Tuan Guru, kejahilan yang berlaku hingga menyebabkan ada kalangan ustaz menerima idealogi bercanggah Islam, selain turut mengambil walaupun sedikit titik persamaan idealogi lain untuk dikaitkan dengan Islam.

“Contohnya Islam mengharamkan riba, Komunis juga mengharamkan riba, menentang riba. Ini Komunisma dalam Islam, kata dia. Contohnya Islam menggalakkan kebebasan menasihat, mengkritik dan bersuara, Demokrasi Barat begitu. Itu secara kebetulan. Perlu diketahui bahawa, sekiranya kita merujuk Muqaddimah Ibnu Khaldun, kita akan dapati Ibnu Khaldun lebih awal mengemukakan teori-teori ini.

“Tetapi berbeza dengan idealogi-idealogi. Kerana Islam itu ada roh, ada akidah, ada sifat perhitungan dosa dan pahala, wawasan akhirat, bukan wawasan dunia sahaja. Ini berbeza dengan idealogi lain. Alhamdulillah, penipuan ini meleset. Kita melihat orang Islam ingin balik semula kepada Islam. Ringkasnya masa depan tetap ada pada Islam.

“Bagaimana kita nak merancang masa depan kita. Perlu dikendalikan ilmuwan-ilmuwan Islam ini. Perlu disedari betapa umat Islam yang berilmu terkesan dengan agenda Barat. Mereka berjaya mewujudkan aliran agama yang lemah, mengaji Islam, tak tahu nak melaksanakan Islam mengikut keadaan-keadaan semasa.

“Ada ulamak-ulamak pondok yang mengaji pondok mengatakan bunga bank itu halal, ‘interest’ itu halal kerana dalam kitab fekah, kitab kuning tak ada sebut interest, tak ada sebut bunga bank, yang disebut riba sahaja. Ini kerana tidak memahami maksud dan tujuan. Begitu sekali.

“Dan ada yang terpengaruh dengan Barat, nak jadikan kita macam Barat. Terus ikut Barat, begitu sekali. Namun ada yang faham dan sedar, perlu bagaimana nak mentajdid dan mengislahkan, mereformasikan ilmu berdasarkan kepada Islam yang sebenar,” ujarnya menyedarkan. – HARAKAHDAILY 27/11/2018