Apa hasil kini dari undi PRU14 lalu?

KUALA LUMPUR: Pengundi yang punya kesedaran terhadap kewajipan agama akan melakukan perubahan dengan membuat pilih undi untuk kerajaan yang lebih baik.

Advertisement

Sebaliknya pengundi yang dipengaruhi tekanan ekonomi dan mengharap perolehan dari sudut itu cenderung membuat perubahan atas dasar marah dan dendam.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, pengundi PRU14 yang kenal Islam dan mahu mengubah Umno memilih perubahan kepada yang tidak dimurkai Allah.

Kerana itu katanya, di Kelantan dan Terengganu yang ditadbir PAS menyaksikan janji-janji terutama untuk bawa Islam sama sekali tidak dilanggar, bahkan berintegriti dan bersih dari salah laku.

Malah, setakat tempoh pemerintahan ini telah menjadi sesuatu yang menyeronokkan bagi rakyat di kedua negeri itu melihat kerajaan mereka melaksanakan janji diberikan.

“Itu bagi rakyat yang faham bahawa perubahan, bila Allah campak ‘dalam hati’ bahawa tiba masanya kerajaan diubah, mereka pilih ubah dengan kerajaan lebih baik.

“Tapi orang yang agamanya kurang, dia ubah dengan cara marah, dendam. Lupa kewajipan agama, akhir sekali pilih parti yang tak hirau janji-janji termasuk terhadap keselamatan agama.

“Lalu diundi PH. Kerana apa? Kerana PH janjikan perubahan besar yang rakyat mahu sudut ekonomi,” ujarnya pada ceramah “Kenapa Bantah ICERD?” di Bukit Katil, malam kelmarin.

Terangnya, rakyat memilih menukar kerajaan baharu kerana Umno berada dalam keadaan sangat teruk dengan pelbagai penyelewengan dan salah guna kuasa.

PAS katanya, sejak awal menasihati rakyat untuk melakukan perubahan yang benar dan diredai Allah iaitu menukar Umno diganti dengan PAS dan bukannya PH.

Jelas beliau, kerana menukar Umno mestilah kepada kerajaan baharu yang lebih menjaga agama di mana seterusnya akan menjaga juga soal ekonomi, sosial dan lain-lain.

Kerana itu menurutnya, dengan segala yang dilihat berlaku dalam tempoh 7 bulan di bawah pemerintahan baharu ini mengajak rakyat untuk bersatu dalam soal agama.

“Pilihlah PAS kerana konsisten, istiqamah sebelum kita menang Kelantan lagi. Lepas kita menang, kita buktikan tidak ada parti lebih baik jaga agama daripada PAS,” serunya.

Beliau menggariskan pelbagai janji yang telah dimungkiri PH di mana dibohongi tanpa segan silu, sebaliknya kini melanggar pelbagai perkara melibatkan agama. – HARAKAHDAILY 27/11/2018