Keharmonian dan ketenteraman awam diutamakan

PAS mengikuti secara dekat perkembangan insiden yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam, USJ Subang Jaya yang sudah berlarutan sejak beberapa hari yang lalu.

Advertisement

PAS menyeru semua pihak agar bertenang dan memahami isu sebenar di sebalik insiden yang tidak diingini ini, serta tidak mencetuskan sentimen agama dan perkauman yang tidak sihat di kalangan masyarakat awam.

PAS menegaskan bahawa perpaduan dan keharmonian rakyat perlu diutamakan, dan hak beragama perlu dihormati mengikut lunas undang-undang. Pihak pemaju perlu menjaga sensitiviti kaum dan agama. Sebarang unsur yang boleh menimbulkan sensitiviti di kalangan rakyat perlu ditangani dengan pantas oleh pihak berwajib, pemimpin masyarakat dan wakil rakyat yang telah dipilih.

PAS berkeyakinan bahawa pihak PDRM, Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Negeri Selangor mampu menangani isu ini dengan baik mengikut lunas undang-undang, demi mengembalikan ketenteraman awam di lokasi terbabit dan juga di seluruh negara amnya.

PAS menyarankan agar semua pihak yang terlibat dapat duduk semeja bagi meredakan keadaan dalam tempoh segera.

“Islam Memimpin”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 19 Rabiul Awwal 1440 / 27 November 2018 – HARAKAHDAILY 27/11/2018