Pampasan kecil mangsa kemalangan kereta k’jaan

KUALA LUMPUR: Mangsa kemalangan melibatkan kenderaan kerajaan mungkin hanya akan menerima jumlah pampasan yang kecil berikutan pengurangan besar peruntukan berkaitan dalam Belanjawan 2019.

Advertisement

Kebimbangan tersebut disuarakan Dato’ Takiyuddin Hassan (PAS – Kota Bharu) ketika membahas mengenai bayaran tuntutan insurans dan pampasan pada sidang Dewan Rakyat di Parlimen, semalam.

Belanjawan kali ini mengurangkan peruntukan tersebut sebanyak dua pertiga iaitu sebanyak RM60,000 sahaja berbanding pada tahun lalu dengan jumlah sebanyak RM180,000.

Mengemukakan pengalamannya selaku peguam, kenderaan kerajaan katanya, tidak dilindungi insurans menyebabkan sebarang tuntutan kemalangan melibatkan orang awam perlu dibayar sendiri.

Terangnya, walaupun kes tuntutan kemalangan membenarkan tawaran penyelesaian luar mahkamah, namun tawaran sedia ada diberikan pihak kerajaan kepada mangsa kemalangan biasanya lebih rendah daripada kenderaan yang dilindungi insurans.

“Jadi mangsa ini tidak ada pilihan selain daripada menerima tawaran daripada kerajaan,” ujarnya mengemukakan soalan menuntut penjelasan pihak kerajaan. – HARAKAHDAILY 27/11/2018