PAS Kedah sokong pendirian himpunan 8 Dis

bantah

ALOR SETAR: PAS Kedah menyokong pendirian NGO Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) dan Sekretariat Kedaulatan Negara (DAULAT) untuk terus melangsungkan himpunan aman yang akan diadakan pada 8 Disember nanti.

Advertisement

Demikian dinyatakan oleh Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi, ketika dihubungi Harakahdaily, baru-baru ini.

fakhrudinMenurut beliau, himpunan aman merupakan manifestasi amalan demokrasi yang memberi ruang kepada rakyat menunjukkan isi hati serta pendirian mereka dalam sesuatu isu.

“PAS Kedah akan turut sebagai menyatakan pendirian penolakan ratifikasi ICERD serta mendesak kerajaan supaya tidak menandatanganinya pada masa-masa akan datang,” kata beliau.

Jelasnya lagi, meskipun kerajaan PH menyatakan kedudukan untuk tidak meratifikasikan ICERD pada ketika ini, namun tidak ada jaminan dan komitmen tegas daripada kerajaan untuk menyetujuinya dalam tempoh tertentu masa depan.

Tambahan pula, sambung beliau kerajaan hari ini sering kelihatan membuat pusingan ‘U’ dalam keputusan mereka seperti janji manifesto PRU lalu.

“Oleh itu PAS juga mendesak supaya sebarang ratifikasi konvensyen antarabangsa seperti ICCPR, CAT, ICPPED, ICESCR dan ICRMW hendaklah bawa ke pengetahuan umum dan dibahaskan sebelum kerajaan Pakatan Harapan mengambil apa-apa keputusan mengenainya,” tegasnya.

Justeru itu, PAS Kedah mengalu-alukan komitmen rakyat Kedah hadir ke himpunan aman berkenaan pada 8 Disember nanti di Kuala Lumpur.

‘Kita berhimpun dengan aman dan penuh berdisplin dan pakat-pakat jumpa di sana nanti,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 27/11/2018