SAM persoal komitmen Selangor pertahan HSK

SAHABAT Alam Malaysia (SAM) membantah cadangan pihak berkuasa Negeri Selangor untuk memansuhkan lagi dua kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di negeri Selangor.

Advertisement

Dua kawasan HSK tersebut ialah sebahagian Hutan Simpan Sungai Buloh (HS Sungai Buloh), Daerah Petaling seluas 1.2418 hektar dan sebahagian Hutan Simpan Bukit Lagong, Daerah Gombak seluas 28.3 hektar.

HS Sungai Buloh mempunyai signifikan kerana merupakan HSK tertua di Malaysia.

Sejak ditubuhkan pada 14 Januari 1898, dari semasa ke semasa sebahagian besar keluasan HS Sungai Buloh (keluasan asal: 6,590 hektar) telah dimansuhkan dan dikorban atas nama pembangunan.

Kini HS Sungai Buloh semakin mengecil dan membimbangkan iaitu hanya berkeluasan kira-kira 25 hektar sahaja.

Oleh itu adalah wajar HS Sungai Buloh dikekalkan keluasannya sebagai kawasan perlindungan warisan.

Pengekalan keluasan sedia ada HS Sungai Buloh dan HS Bukit Lagong serta lain-lain HSK di Lembah Kelang adalah amat penting kerana ianya berperanan untuk mengimbangi antara pembangunan fizikal dengan kawasan semula-jadi.

Oleh kerana pembangunan fizikal terutama perubahan guna-tanah kepada perbandaran begitu pesat di Lembah Kelang sedangkan zon hijau semakin berkurangan menyebabkan kadar pelepasan gas rumah hijau semakin meningkat dan boleh memberi impak kepada kualiti kehidupan penduduk persekitaran.

Beberapa kejadian kemalangan jalanraya dan gangguan kepada manusia yang melibatkan haiwan-haiwan liar sebelum ini menunjukkan bahawa kawasan HSK di Lembah Klang terutama di luar kompleks hutan ‘Central Forest Spine‘ Banjaran Titiwangsa yang telah menjadi ‘pulau hutan’ masih merupakan habitat terutama kepada haiwan-haiwan liar yang dilindungi sepenuhnya.

Cadangan memansuhkan sebahagian HS Sungai Buloh dan sebahagian HS Bukit Lagong adalah bercanggah dan tidak selari dengan salah-satu strategi utama Jabatan Perhutanan Negeri Selangor iaitu mengekalkan HSK sedia-ada dan meningkatkan keluasannya.

Cadangan memansuhkan sebahagian HS Sungai Buloh dan HS Bukit Lagong juga adalah bercanggah dengan matlamat dan sasaran Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) iaitu hendak mencapai 5 juta hektar keluasan HSK daripada keluasan tanah Semenanjung Malaysia.

Di samping itu, cadangan memansuhkan HS Sungai Buloh dan HS Bukit Lagong tidak selari dengan saranan Kerajaan Persekutuan semasa pembentangan belanjawan 2019 supaya semua Kerajaan Negeri mengambil usaha melindungi kawasan perlindungan sedia-ada dan menambah kawasan perlindungan yang baharu.

Malah Kerajaan Negeri begitu bersungguh-sungguh dan beriltizam untuk terus menjaga khazanah alam serta warisan hijau supaya ia sentiasa terpelihara apabila bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Azmin Ali menyatakan Selangor tidak boleh berasa selesa dengan jumlah semasa HSK meskipun melebihi 30 peratus daripada keluasan tanah negeri dan ia perlu diperluaskan.

Oleh itu SAM berharap Pihak Berkuasa Negeri Selangor mempertimbangkan supaya tidak meluluskan pemansuhan kedua-dua kawasan HSK tersebut dan lain-lain kawasan HSK khususnya di Lembah Klang. – HARAKAHDAILY 27/11/2018

Penulis ialah Presiden Sahabat Alam Malaysia.