Umno kalah: Muhasabah di mana letak Islam?

KUALA LUMPUR: Kekalahan Umno pada PRU14 lalu harus menjadi pengajaran kepada parti itu untuk bermuhasabah melihat di mana kedudukan Islam selama mereka menerajui pemerintahan.

Advertisement

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, jatuhnya parti itu dari tampuk negara kerana gagal mensyukuri nikmat kuasa diberikan Allah.

Bentangnya, apabila tidak lagi mensyukuri nikmat kuasa setelah 60 tahun kurniaan itu, maka Allah Taala akan menukar nikmat kepada kecelakaan, malapetaka atau bala.

Terang beliau, segala nikmat atau rahmat Allah dilimpahi-Nya kepada semua makhluk tanpa dihitung dosa pahala serta dibebankan dengan sebarang kewajipan.

Lanjutnya, hinggalah seseorang itu telah mencapai akil baligh, baharulah ia diberi taklifan, di mana hal sama berkenaan nikmat dan taklifan itu juga ke atas sebuah negara.

Ahli Parlimen Bachok itu juga memetik kisah dari surah Saba’ mengenai kerajaan yang dipenuhi kekayaan rahmat Allah hingga setelah itu diperintahkan mereka untuk bersyukur.

Namun ceritanya, penduduk Saba’ berpaling dan walaupun setelah diberi peringatan demi peringatan, mereka tetap kufur hingga Allah tukar nikmat kepada bala.

Begitulah menurut beliau, bangsa Melayu dan tanah air ini telah diberi nikmat oleh Allah menjadi Muslim, sebagaimana Rasulullah membebaskan Makkah dari syirik.

“Tiba-tiba dibiarkan bangsa dan tanah air ini dihina agamanya. Sedang kewajipan yang dinaskan, mana-mana tanah air yang telah diberi nikmat Islam, maka haram, dosa besar umat melepaskan nikmat tersebut.

“Hingga tanah air itu tidak lagi dihormati agama dan hukum-hakam Allah Taala,” ujarnya pada ceramah “Kenapa Bantah ICERD?” di Dewan Mualim Haji Wahid, Bukit Katil malam kelmarin.

Katanya, Umno dikurniakan Allah nikmat kuasa selama lebih 60 tahun yang tidak diberikan kepada pihak lain dan selama itu PAS telah memberi pelbagai peringatan.

Namun ujar beliau, sampai masanya apabila kezaliman telah melampaui batas, tidak boleh ditutup lagi dan tidak sedarkan diri, serta peringatan tidak didengari, maka Allah celikkan hati rakyat.

Menurut beliau, Allah Taala campakkan kesedaran kepada rakyat untuk menolak Umno dan mengubah kuasa pemerintahan diberikan pula kepada pihak lain.

“Itulah yang berlaku dalam kehidupan manusia, tinggal lagi terserah, nak berterima kasih (bersyukur), nak ambil peringatan atau tidak? Yang ambil peringatan, dia akan sedar, dia akan bertaubat kepada Allah,” ujarnya menginsafkan. – HARAKAHDAILY 27/11/2018