Palu: Trauma healing beri kesan mendalam

SELESAI sudah pasukan trauma healing (psychological first aid) di Palu, Sulawesi Tengah. Bayangkan mangsa gempa bumi dan tsunami yang keriauan apabila langit mendung dan petir meletus. Mereka sudah sasau-minda (panic) mencari tempat perlindungan. Walaupun peristiwa gempa dan tsunami di Palu itu berlaku lebih daripada dua bulan berlalu, namun mereka masih lagi trauma.

Advertisement

Dianggarkan lebih daripada 8,000 kematian akibat rumah ranap dek gempa bumi dan tsunami. Jumlah sebenar sukar mereka ketahui kerana kehidupan mereka bercempera dan tiada satu database kependudukan yang tepat. Di tempat bencana tanah dikisar seperti Balarua dan Potobo sahaja dicatat ribuan rumah terlibat. Mangsa yang maut masih tertimbus dalam bumi yang sudah jadi ibarat padang jarak padang tekukur.

Terdapat mangsa yang selamat menceritakan saat cemas itu, suara mereka terhenti apabila terasa bersalah kerana tidak dapat menyelamatkan sanak saudara yang ditelan bumi. Pada ketika itu hanya berfikir untuk selamatkan diri. Suara meminta tolong terngiang-ngiang di telinga dan akhirnya mati ditelan bumi.

Kisah-kisah dahsyat itu terbayang senantiasa di benak mereka sehinggakan boleh mengganggu tidur, terasa kehidupan kosong dan merasai bersalah tidak berkesudahan. Kecelaruan minda ini diperkuatkan lagi dengan kehidupan serba kekurangan. Mereka bermalam hanya dalam khemah bantuan, panas dan gigitan nyamuk menjadi rintihan pilu.

Kehadiran kami sebagai pasukan Trauma Healing sekurang-kurangnya boleh meredakan minda. Mereka berani meluahkan perasaan kepada pasukan kami, yang sememangnya itulah kaedah bagi mengurangkan stres.

Sempat di satu sesi teknik urutan yang dijalankan oleh Dr Azlin Amat (mendapat pengiktirafan teknik PFA dari Jepun), ibu separuh umur itu menangis teresak-esak sebak kerana lega atas teknik urutan tersebut. Sebelum ini tidak pernah lagi mereka diajar teknik urutan bahu dan kepala yang boleh mengurangkan stres.

Bagi kanak-kanak pula, pasukan kami telah membuat beberapa program khusus seperti penilaian tahap minda melalui saringan emoji dan seterusnya berhibur melalui permainan telur harapan. Sungguh mengujakan mereka sehingga mereka tidak mahu melepaskan kami keluar dari khemah permainan.

Dr Syazif Othman, Exco Papisma Malaysia yang mengetuai kumpulan kami tidak putus-putus memberikan perangsang kepada anak-anak mangsa supaya mereka hidup teguh walaupun ditimpa bencana yang dahsyat itu.

Rupanya kartun Upin Ipin menjadi idola anak-anak di Palu. Kami terkejut apabila lagu video Upin Ipin yang kami tayangkan sebagai salah satu kaedah trauma healing, mereka serentak menyanyikan lagu tema kartun Upin Ipin tersebut. Begitu minat yang mendalam mereka kepada kartun Upin Ipin.

Walaupun sekejap kehadiran kami di Palu, namun kesannya mendalam di hati kami dan di hati mereka. Semoga warga Palu semakin kuat dan mereka bangkit daripada keranapan fizikal dan minda.

Sekian catatan daripada Suhazeli Abdullah
Delegasi Misi Kemanusiaan Palu
22-27 November 2018 – HARAKAHDAILY 28/11/2018

 

s1

s3