Kerajaan PH gagal tangani isu perkauman

PASIR PUTEH: Kerajaan Pakatan Harapan dilihat gagal menangani sentimen perkauman sehingga muncul pelbagai isu termasuk rusuhan berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, Subang Jaya.

Advertisement

Isu itu berlaku ketika semangat PH mahu meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) masih hangat diperkatakan.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Kelantan Nazman Che Ibrahim berkata, berikutan kegagalan itu Pemuda Parti Amanah Negara (PAN) mendakwa PAS pula sebuah parti perkauman.

“Menuduh PAS dengan isu perkauman saya rasa kenyataan tidak lojik sebab hari ini yang menjaga batas kepada tercetus api serta perbalahan antara kaum ialah PAS.

“Apabila disebut mengenai perjuangan menjaga Islam dan Melayu, kita rasa itu bukan isu perkauman bahkan ia merupakan pasak bagi menjaga keutuhan pepaduan semua kaum di Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas perhimpunan aman membantah ICERD di sini hari ini.

Timbalan Ketua Pemuda PAN, Muhammad Faiz Fadzil pada forum yang disiarkan Tv Alhijrah beberapa hari lalu mendakwa PAS parti perkauman. – HARAKAHDAILY 30/11/2018