5,000 motosikal ARC sertai himpunan 8 Dis

bantah

KUALA LUMPUR: Himpunan aman menolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) bakal mencipta sejarah apabila dijangka sejumlah 5,000 motosikal dari Alternative Riding Club (ARC) turun mengambil bahagian.

Advertisement

Pengarah ARC Malaysia, Wan Ahmad Ridzuan Wan Hussin berkata, pihaknya telah mengeluarkan arahan kepada ahli kelab ARC di seluruh negara bersiap sedia untuk hadir himpunan aman pada 8 Disember ini.

“ARC Malaysia menyeru semua ahli ARC, sahabat-sahabat, kelab-kelab, penunggang dan peminat dunia permotoran serta orang ramai untuk sama bersiap siaga sepanjang masa untuk hadir himpunan itu.

“Ia bertujuan mempamerkan solidariti kita untuk bersama-sama dengan para peserta himpunan mempertahankan kedaulatan negara selain membantah cubaan mengganggu gugat agama Islam, bangsa Melayu mahupun bumiputera Sabah dan Sarawak.

“Tagline kami pada himpunan ICERD adalah ‘Roda Dua Tolak ICERD’,” katanya kepada Harakahdaily.

Ujarnya lagi, arahan itu dikeluarkan sebaik PAS memutuskan akan turut serta mengambil bahagian dalam himpunan terbabit ditambah pula ketegasan dan amaran Presiden PAS mengenai bahaya ICERD kepada negara.

Jelasnya lagi meskipun Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melalui Jabatan Perdana Menteri telah mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan tidak meratifikasi ICERD namun masih terdapat pendapat yang bercanggah sesama pimpinan kerajaan Pakatan Harapan.

Katanya, selain itu masih terdapat gerakan-gerakan kumpulan tertentu yang masih aktif mahu memperjuangkan ICERD maka atas dasar itu beliau menyambut baik arahan Presiden PAS untuk terus menyertai himpunan perdana.

“ARC dengan penuh semangat dan rela hati akan sentiasa menjadi benteng dan perisai di segenap ruang demi kedaulatan negara,” katanya.

Tambahnya, ARC mengalu-alukan mana-mana individu mahupun kumpulan yang berminat untuk menunggang bersama kelabnya. – HARAKAHDAILY 1/12/2018

arc