Panduan pergerakan ke Himpunan Bantah ICERD

HIMPUNAN Aman Rakyat Bantah ICERD akan diadakan pada 8 Disember 2018, hari Sabtu, jam 2 petang hingga 6 petang di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Advertisement

Warna tema himpunan adalah putih.

Peserta yang akan berhimpun dinasihatkan supaya mengikuti panduan pergerakan seperti berikut:

Sebelum himpunan

1.     Memastikan laluan “checkpoint” dan arahan semasa daripada pimpinan masing-masing.

2.     3 “checkpoint” rasmi yang telah ditetapkan adalah seperti berikut:

i.     Masjid Negara

ii.     Masjid Jamek, Kuala Lumpur

iii.     Sogo

3.     Memastikan ubat-ubatan peribadi yang diperlukan, dibawa bersama.

4.     Peserta digalakkan melakukan solat hajat memohon kelancaran himpunan.

Semasa himpunan

1.     Semua peserta dinasihatkan datang awal untuk Solat Zohor di “checkpoint” yang ditetapkan.

2.     Selepas solat, peserta dikehendaki bergerak secara beransur-ansur, dari “checkpoint” yang masing-masing.

3.     Menyimpan nombor telefon ketua kumpulan dan pemandu bas dan mengambil gambar bas bersama plat pendaftaran (jika datang dengan rombongan) dan bergerak dalam kumpulan yang dikenali ke “checkpoint” semasa pergi dan balik.

4.     Membawa bersama beg kecil yang berisi tuala kecil, baju hujan atau payung, bekalan makanan (seperti roti  atau kurma atau snek bijirin  atau biskut) sebagai persediaan.

5.     Himpunan akan diisi dengan agenda solat hajat dan peserta diminta membawa sejadah atau alas dan serta air mineral untuk mengambil wuduk.

6.     Tidak membawa sebarang senjata berbahaya atau barang tajam yang mencurigakan.

7.     Tidak melakukan provokasi atau melayan sebarang provokasi.

8.     Melaporkan kepada pihak keselamatan himpunan jika melihat sebarang provokasi.

9.     Sentiasa mematuhi arahan pihak penganjur himpunan dari semasa ke semasa dan tidak bertindak mengikut emosi.

10.     Sekali lagi, ditegaskan, ini adalah himpunan aman, sebarang individu atau kumpulan yang tidak mematuhi arahan, akan diambil tindakan tegas mengikut lunas undang-undang oleh pihak yang berkenaan.

11.      Peserta dinasihatkan supaya menjaga keselamatan diri, keluarga dan barang masing-masing sepanjang himpunan berlangsung.

12.     Jika peserta mengalami sebarang masalah kesihatan semasa himpunan atau melihat individu berhampiran anda mengalami simptom masalah kesihatan, rujuk segera kepada pasukan medik himpunan yang berhampiran dengan anda.

Selepas himpunan

1.     Kutip sampah sendiri dan yang berada berhampiran anda dan buang di tong sampah.

2.     Bersurai mengikut arahan penganjur himpunan dalam keadaan aman.

Penganjur mengucapkan “Selamat Berhimpun” dan diharapkan himpunan ini berjalan dengan lancar dan mencapai tujuan ia dianjurkan.

Dikeluarkan oleh:

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Pengarah
Himpunan Aman Rakyat Bantah ICERD

23 Rabiul Awal 1440
1 Disember 2018 – HARAKAHDAILY 1/12/2018 

FB IMG 1543645451163