ICERD: Sekolah Cina, Tamil juga terjejas

PASIR MAS: Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil juga akan berdepan dengan masalah sekiranya kerajaan Pakatan Harapan (PH) meratifikasikan ICERD.

Advertisement

Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum itu memberi kesan kepada semua perkara berkaitan kaum.

Pengerusi Biro Undang-Undang Pemuda Umno Malaysia, Nik Saiful Adli Borhan berkata, sepatutnya penduduk bukan Melayu juga tampil membantah ICERD kerana ia turut memberi kesan kepada mereka.

Katanya, bukan sahaja hak-hak orang Melayu akan terjejas namun semua perkara berkaitan kaum akan terheret sama dengan ratifikasi ICERD.

“Tidak patut hanya orang Melayu sahaja yang tampil membantah ICERD sedangkan perkara itu turut menjejaskan hak masyarakat Cina dan India.

“Bukan itu sahaja, malah parti politik yang berasaskan kaum juga akan terkesan dengan ratifikasi ICERD,” katanya pada ceramah pra Himpunan ICERD di Kompleks Tarbiah PAS Dun Chetok malam tadi.

Hadir sama Setiausaha Perhubungan PAS Negeri, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi, Yang Dipertua PAS Rantau Panjang, Abdul Fatah Harun, Adun Chetok Zuraidin Abdullah dan Adun Apam Putra, Abdul Rasul Mohamed. – HARAKAHDAILY 3/12/2018