MB dan PAS Terengganu

PENDAHULUAN

Advertisement

PAS di Terengganu dilihat sangat menarik pada sesi ini. PAS Terengganu dilihat sangat dinamik dan pantas membuat adaptasi. Gerakannya mutakhir ini sukar dibaca oleh pihak lawan, mahupun penganalisis politik. Ia dilihat satu kelebihan dalam memenangi persaingan.

Antaranya ialah mengenai pemilihan Menteri Besar. Ramai pihak menjangka PAS Terengganu akan mencalonkan salah seorang daripada ahli Badan Perhubungan PAS Negeri sebagai MB yang baru. Namun jangkaan mereka meleset sama sekali apabila PAS Terengganu mengemukakan nama Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon Menteri Besar Terengganu.

MB daripada latar belakang teknokrat dan profesional

Ketika ramai pihak meramalkan PAS Terengganu akan mencalonkan tokoh ulamak ke jawatan itu, namun kepimpinan PAS memilih seorang teknokrat untuk mengemudi pentadbiran Negeri Terengganu. Ia adalah satu langkah besar bagi memantapkan kedudukan PAS di Negeri Terengganu dan mengukuhkan kehadirannya di dalam hati rakyat Malaysia.

Kini PAS mempunyai dua orang MB yang mempunyai latar belakang pendidikan yang berlainan. MB Kelantan mewakili golongan ulamak. MB Terengganu mewakili golongan teknokrat dan profesional. Kedua-dua mereka memegang jawatan kanan dalam hierarki kepimpinan PAS Pusat.

Dengan itu, persepsi yang dibina oleh beberapa pihak bahawa PAS hanya diterajui oleh golongan ulamak sahaja, sementara golongan teknokrat dan profesional dipinggirkan, adalah dengan sendirinya dapat ditangkis dengan mudah. Lebih daripada itu, PAS dilihat berupaya mengemukakan kombinasi kepimpinan yang mapan, jika diberi peluang mentadbir Putrajaya pada masa akan datang. 

Serangan awal pihak lawan

Kelancaran pentadbiran Kerajaan Terengganu mencetuskan rasa cemas sesetengah pihak.

Oleh itu, mereka cuba menafsirkan pemilihan Dr Ahmad Samsuri sebagai permulaan kepada ‘konflik dalaman’ PAS Terengganu. Ada yang cuba menggambarkan berlaku perebutan ‘kuasa’ antara Exco untuk menjatuhkan MB. Ada teori YB Batu Buruk hendak dinobatkan sebagai MB kerana dia anak ‘somebody’. Ada teori ahli Parlimen Kuala Nerus pun hendak merebut jawatan MB.

Mungkin masih banyak lagi teori-teori sensasi yang akan cuba dijaja selepas ini.

Teori-teori seperti ini memanglah nampak hebat dan sedap didengar. Malangnya ia terlalu dangkal dan terlalu tidak munasabah. Ibarat panggang yang diletak dua kilometer daripada api.

Kata orang Terengganu, “Doh tak dok cerita sangat doh, ke guaner?”

PAS Terengganu dan kepimpinan pentadbiran kerajaan 

Hakikatnya kepimpinan PAS Terengganu telah menganggotai jentera pentadbiran Kerajaan Negeri di pelbagai peringkat secara tersusun berdasarkan senioriti dan kepakaran masing-masing dengan penuh tertib dan teratur. Pelantikan Dr Ahmad Samsuri sebagai MB termasuk dalam strategi PAS Negeri sebelum dan selepas PRU.

Konsep kepimpinan YAB MB dan ahli-ahli mesyuarat Kerajaan Negeri yang lain telah berjalan secara kolektif dan objektif demi kepentingan rakyat dan menunaikan amanah pemerintahan yang diperintahkan oleh Allah S.W.T.

Ringkasnya, YAB MB, barisan Exco dan kepimpinan PAS Terengganu adalah anggota pentadbiran kerajaan daripada satu segi. Dan mereka jugalah merupakan kepimpinan parti daripada satu segi yang lain. Dengan itu tiada pertembungan kepentingan antara kepimpinan negeri dan kepimpinan parti. Konsep Islam Memimpin dijadikan dasar parti dan agenda negeri.

Justeru PAS Terengganu telah berjaya merealisasikan strategi politik PAS yang lebih bersifat nasional dalam kerangka pentadbiran negeri dengan cara yang amat unik sekali.

Dalam hal ini, fahamlah kita maksud kata-kata orang tua bahawa hanya mulut tempayan saja yang boleh ditutup. Adapun mulut manusia, macam- macam cerita fiksyen yang mampu dikarang dan mampu di’bawang’.

Beberapa ciri pentadbiran YAB Dr Ahmad Samsuri

Di bawah YAB Dr Samsuri, Terengganu terus menggerakkan dua strategi utama PAS, iaitu Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) dan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030).

Hasilnya, tidak berlaku ketegangan di kalangan masyarakat Terengganu di kampung-kampung lantaran pertukaran pentadbiran kerajaan. Tiada politik berbentuk balas dendam di Terengganu. Mengemaskan semula organisasi dan perjawatan dalam kerajaan dan GLCS juga dilakukan dengan penuh cermat dan berhemah.

Perbincangan tentang royalti dan hak-hak rakyat Terengganu dirundingkan secara matang oleh YAB MB yang baru dengan YAB Perdana Menteri dan pentadbiran baru di peringkat Persekutuan. Langkah membuat kerjasama dengan negeri- negeri pengeluar minyak yang lain adalah antara strategi menguatkan desakan terhadap Putrajaya agar menghormati semangat Federalisme secara positif dan adil.

Lebih menarik, kepimpinan YAB Dr Ahmad Samsuri mampu menarik sokongan dan kerjasama pimpinan parti pembangkang di Negeri Terengganu dalam hal berkaitan royalti dan hak-hak rakyat Terengganu.

Pembentukan jentera kerajaan di peringkat akar umbi pula berjaya dibuat dengan teratur. Peranan MPKK diberi perhatian serius. Beberapa agensi untuk mengukuhkan sistem penyampaian kerajaan turut dibentuk dan diperkasakan.

Pembentangan Bajet 2019, menunjukkan hasrat besar Kerajaan Terengganu untuk membawa Terengganu kepada era Maju, Berkat dan Sejahtera secara inklusif dan komprehensif.

Ijtimak Kepimpinan PAS Terengganu

Pada 1 Disember baru-baru ini, Ijtimak Kepimpinan PAS Terengganu telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman pada 1 Disember 2018 baru-baru ini. Ia dihadiri oleh aktivis parti pelbagai peringkat daripada seluruh negeri.

Ijtimak dianjurkan oleh Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu yang diterajui oleh YB Datuk Ustaz Husein Awang selaku Pesuruhjaya.

Ijtimak dimeriahkan dengan ucaptama oleh YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS dan ucapan oleh YAB Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Ucapan YAB MB dalam Ijtimak Kepimpinan ini jelas sekali menunjukkan visi beliau sebagai pemimpin gerakan Islam yang sangat berwibawa. Suatu nilai tambah kepada PAS Terengganu.

Dalam Ijtimak ini kita menyaksikan kepimpinan PAS di peringkat parti dan kepimpinan PAS dalam pentadbiran negeri dilihat sangat selari dan bersifat saling menguatkan antara satu sama lain. Agenda mendaulatkan pentadbiran berteraskan syariah Islam yang syumul serta agenda meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat dibincang dibahas dan dimuhasabahkan secara mantap sekali.

Kepada pengkaji politik, Ijtimak ini menjadi penanda aras yang penting dalam memahami perkembangan politik Terengganu dan PAS Terengganu secara khusus.

Penutup

Gabungan kepimpinan PAS di Terengganu di dalam parti dan kerajaan adalah sangat unik sekali. Perjuangan menegakkan syariah menjadikan mereka bekerjasama dengan cara yang tidak difahami oleh golongan yang hanya mengejar pangkat, kuasa dan tampuk pemerintahan untuk tujuan keduniaan semata-mata.

Inilah yang difirmankan oleh Allah S.W.T dalam Surah at-Taubah, ayat 71:

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

ZAKARIA ISMAIL
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan Marang
3 Disember 2018 – HARAKAHDAILY 3/12/2018