Soal jawab Himpunan ICERD 0812

Q:     ICERD sudah tidak diteruskan, buat apa demo lagi?

Advertisement

A:     Yang pertama sekali kita berterima kasih kepada PM berikutan kenyataan pada 23 November 2018 bahawa kerajaan tidak akan meratifikasi ICERD. Kita percaya ia juga berpunca dari desakan demi desakan yang kita lakukan sebelum ini yang berhasil memberi tekanan kepada kerajaan. Namun, keresahan rakyat masih belum reda selepas beberapa kenyataan Menteri dan Ahli Parlimen serta beberapa orang politik PH yang sangat kontra khususnya mahu menangguhkan ratifikasi, pasca kenyataan PM seolah masih membuka ruang untuk meratifikasi ICERD atau seperti ada udang di sebalik batu. Rakyat juga kurang yakin dengan pendirian kerajaan baru PH yang terbukti mempunyai rekod tidak menepati janji dan berbohong pasca PRU14. Oleh itu, demonstrasi tetap diteruskan bagi 1)    menzahirkan sokongan pada kenyataan rasmi PM, 2)    memberi amaran tegas kepada kerajaan mahupun mana-mana pihak yang masih berani mendesak dan menyatakan pendirian supaya kerajaan meratifikasi ICERD. Tidak cukupkah kamu (wahai Kerajaan PH) mahu berhelah dan berbohong kepada rakyat?

Q:     Mufti sudah nasihat supaya tidak teruskan? Kenapa lawan cakap mufti?

A:     Kita hormat dan berterima kasih pada semua pandangan mufti dan cendekiawan yang menasihati supaya himpunan tidak diteruskan. Kita juga turut berterima kasih pada mufti yang sudi menyatakan sokongan pada bantahan ICERD. Berdasarkan rekod kita, pandangan mufti yang memberi saranan supaya himpunan tidak diteruskan menyatakan kebimbangan setelah mengambil kira unsur ketegangan kaum dari insiden kuil baru-baru ini. Kita sedia maklum insiden kuil ini bukan berpunca dari isu perkauman, malah siasatan awal polis mendapati terdapat unsur sabotaj dan konflik antara pemaju tanah dan pihak pengurusan kuil. Kita menyatakan komitmen kita bahawa Himpunan ICERD bukan himpunan berunsur perkauman sempit, malah kita tidak menghalang mana-mana kaum tanpa mengira latar belakang turut sama hadir menyatakan sokongan pada menjunjung dan mempertahan Perlembagaan Negara dari pengkhianat-pengkhianat dalam kerajaan. Justeru, selagi mana pihak penganjur komited dengan objektif himpunan, himpunan ICERD tiada kaitan dengan apa-apa unsur yang dibimbangkan oleh mufti. Bahkan objektif himpunan ini juga secara tidak langsung menyatakan sokongan pada kenyataan mufti tersebut, iaitu menghentikan anasir-anasir buruk perkauman yang hakikatnya dimulakan oleh pengkhianat-pengkhianat dalam Kerajaan PH. Jadi ayuh, hadirlah dengan jiwa kecintaan pada negara.

Q:     Himpunan ditunggang oleh parti-parti politik. Rakyat dipermainkan untuk kepentingan politik sempit!

A:     Tidak dinafikan rancangan himpunan pada mulanya dicetuskan oleh 2 parti politik gergasi pembangkang. Perlu difahami hal ini berpunca pada awalnya setelah MP-MP pembangkang ini berhempas pulas bertikam lidah di Parlimen membantah cadangan ratifikasi ICERD oleh kerajaan. Namun, setelah itu mengambil kira kepentingan semua pihak yang mula tampil menyatakan sokongan dari pelbagai latar belakang pendidikan, sejarah, NGO kebajikan, persatuan professional dan tokoh-tokoh berjasa tanah air, maka penganjuran himpunan ini diserah urus sepenuhnya kepada wakil-wakil tersebut, dalam masa yang sama parti-parti politik yang senada dalam isu ini memberi sokongan dan dukungan penuh pada pihak penganjur. Mantan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan Tun Abdul Hamid yang bukan orang politik, turut juga menyatakan sokongan. Tidak timbul isu rakyat dipermainkan untuk kepentingan parti politik sempit. Apa yang pasti rakyat semua hari ini mula sedar telah dipermainkan oleh pengkhianat Kerajaan PH untuk laba politik mereka setelah berbohong pada rakyat dan berhasrat mencemar keluhuran Institusi Perlembagaan dan Raja-raja dengan tindakan meratifikasi ICERD. Siapa sebenarnya yang mempermain rakyat?

Q:     Himpunan boleh mengundang ketegangan atau rusuhan kaum?

A:     Pihak penganjur sudah mempromosi objektif dan panduan himpunan melalui semua saluran yang ada, tiada satu kenyataan pun yang membuktikan himpunan tersebut berbaur rasis, malah pihak penganjur juga tidak menghalang mana-mana kaum turut serta menyatakan sokongan dalam himpunan membantah ICERD. Selain itu, jaminan penganjur bahawa himpunan ini adalah himpunan aman, juga telah mendapat persetujuan pihak polis dan DBKL. Tidak dinafikan kaum Melayu antara yang paling terkesan dengan tindakan pengkhianat dalam kerajaan yang degil mahu meratifikasi ICERD, mengambil kira potensi ancaman pada hak-hak keistimewaan Melayu dan Raja-raja dalam Perlembagaan jika ratifikasi diteruskan. Namun, perlu diingat siapa sebenarnya yang berniat mahu mencetus ketegangan kaum, tidak lain tidak bukan kita yakini berpunca dari pengkhianat-pengkhianat dalam kerajaan ini yang menggugat keharmonian kaum sedia ada di Malaysia. Siapa yang mula-mula usulkan mahu ratifikasi ICERD? Siapa yang mula-mula menuduh kaum Melayu mendiskriminasi kaum lain? Siapa yang mahu menghapuskan keistimewaan orang Melayu yang sedia termaktub dalam Perlembagaan? Justeru, secara logiknya himpunan ini sebenarnya memberi isyarat tegas supaya pengkhianat negara menghentikan serta merta ketegangan kaum yang mula-mula dicetuskan oleh mereka ini, malah mengajak rakyat Malaysia berbilang kaum untuk menjunjung keluhuran Perlembagaan dan memelihara kedaulatan negara seperti sedia ada.

Q:     Isu ketegangan kaum berlaku akhir-akhir ini, sukar untuk mengawal perkara-perkara berlaku luar jangkaan seperti provokasi ketika himpunan.

A:     Di peringkat penganjur, telah menguar-uarkan panduan kepada peserta himpunan menerusi semua saluran yang ada, yang mengandungi antaranya larangan membawa bahan-bahan berbentuk provokasi di samping panduan menangani provokasi dari pihak luar sekiranya berlaku. Pihak penganjur juga komited menyiapkan pasukan kawalan himpunan terdiri dari sukarelawan dan unit keselamatan yang berpengalaman, dan menyatakan komitmen untuk memberi kerjasama kepada pihak polis untuk mengawal keadaan sepanjang himpunan berlangsung. Pihak penganjur juga bertegas untuk tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mahu mencetus provokasi baik datangnya dari peserta himpunan atau mana-mana pihak luar, serta tidak akan teragak-agak untuk bertindak mengikut lunas undang-undang sekiranya didapati berlaku unsur provokasi tidak kira sama ada ianya berunsur perkauman atau sebagainya.

Q:     Ahli politik Umno yang anjur bantah ICERD terpalit skandal 1MDB anda buat diam pula?

A:     Kita secara prinsip asasnya menentang segala bentuk pengkhianatan pada negara tanpa mengira latar belakang parti politik atau individu. Kita mahu tanya kepada penyoal, kepada siapa soalan ini mahu ditujukan sebenarnya, terlebih dahulu sila bawa bukti yang mengatakan bahawa kita diam dalam apa-apa isu melibatkan penyelewengan pada negara termasuk skandal 1MDB. Sudah rujuk kenyataan akhbar dan Hansard Parlimen dengan teliti? Ataupun hanya tuduhan semata-mata? Namun begitu, perlu jelas Himpunan ini meletakkan fokus untuk membantah pengkhianatan yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu dalam kerajaan dalam isu ratifikasi ICERD sahaja. Kita membuka ruang kepada semua pihak yang menyatakan solidariti yang sama dengan kita dalam isu ini, tanpa mengira latar belakang politik, hatta jika sokongan tersebut datang dari pihak Kerajaan PH sekalipun, kita tetap sambut dengan baik. Adapun isu skandal 1MDB, kita bersikap menyerahkan pada keputusan mahkamah yang masih dalam fasa perbicaraan dan kita letakkan mandat sepenuhnya kepada pihak kerajaan selaku pihak pendakwaan untuk menjalankan kes ini dengan penuh adil mengikut lunas undang-undang. Pendirian kita tegas, mana-mana pihak didapati bersalah menyeleweng dana kerajaan juga harus dihukum. Kita juga menyatakan kesediaan untuk memberi kerjasama sekiranya diperlukan.

Q:     Yang datang berhimpun pun bukan betul faham apa itu ICERD, yang ada cuma sentimen sahaja.

A:     Sebab itu kita sangat komited untuk anjurkan himpunan ini! Kalaupun benar masih ada rakyat yang hadir hanya kerana sentimen dan mentaliti pembangkang semata-mata tanpa memahami implikasi ICERD, melalui himpunan inilah mediumnya untuk dia diberi kefahaman sewajarnya oleh penganjur mengenai kesan jangka panjang hasil ratifikasi ICERD. Tapi kita tak anggap begitu. Malah kita sangat yakin rakyat akan turun dengan kefahaman yang sebenar, bukan ikut-ikutan. Rakyat yang turun himpunan ialah rakyat yang faham akan Perlembagaan, faham akan kedaulatan negara, dan kenal siapa yang mengkhianati mereka. Yang masih tak faham atau buat-buat tak faham mengenai ICERD ini hakikatnya bukan rakyat, tapi pengkhianat-pengkhianat yang ada dalam Kerajaan PH hari ini!

Q:     Tak boleh ke buat majlis kesyukuran sahaja? Doa selamat ke jamuan pisang sahaja ke? Bukankah ia boleh elak pembaziran?

A:     Orang yang mengemukakan persoalan sebegini hakikatnya dia masih tidak memahami objektif sesuatu himpunan aman diadakan, ataupun dia tidak pernah menyertai sebarang himpunan aman atau dia langsung tidak faham hak-haknya sebagai seorang rakyat dalam menegur kerajaan secara demokratik mengikut lunas undang-undang. Barangkali dia masih baru berjinak-jinak dengan politik. Umum mengetahui meskipun PM telah mengeluar kenyataan mewakili kerajaan untuk tidak meratifikasi ICERD, namun kenyataan kontradik daripada beberapa Menteri dan ahli Parlimen Kerajaan, di samping pembohongan dan sikap mungkir janji kerajaan baharu pasca PRU14 menimbulkan keresahan rakyat mengenai keseriusan kerajaan untuk tidak meratifikasi ICERD. Bagaimana kita boleh terus percaya?! Justeru, himpunan ini wajar diteruskan bagi memberi tekanan yang lebih tegas dan serius kepada kerajaan sebagai amaran dari rakyat agar kerajaan mendukung kenyataan yang telah rasmi dikeluarkan. Adapun mengenai pembaziran, terlalu awal untuk membuat kesimpulan. Jika dianjur jamuan pisang di masjid sekalipun, tiada jaminan bahawa tiada lebihan pisang yang akan terbazir. Tidak timbul isu pembaziran sekiranya kehadiran kita walau satu hari ke himpunan bakal memberi kesan jangka masa panjang kepada masa depan negara dan generasi yang lebih baik suatu hari nanti. Yang amat ketara pembaziran ialah apabila duit rakyat dibazirkan membayar gaji pengkhianat-pengkhianat negara yang memperjudikan nasib rakyat pada masa akan datang.

Q:     Kenapa tak buat majlis solat hajat besar-besaran sahaja? Kenapa mesti berarak berhimpun?

A:     Hak berhimpun sudah termaktub dalam undang-undang. Adapun hak peserta himpunan mempamerkan bantahan melalui apa-apa cara sama ada solat hajat atau berarak atau apa cara sekalipun selagi mana mengikut lunas undang-undang adalah tidak dihalang, asalkan turun hadir sama-sama menyatakan solidariti. Adapun di pihak penganjur, perarakan diadakan bertujuan mengawal pergerakan peserta himpunan dengan lebih sistematik, supaya tidak berlaku pertembungan, kesesakan atau kejadian tidak diingini. Pihak penganjur berharap kerjasama dari peserta himpunan mematuhi arahan yang telah dan akan diberikan. Walau bagaimanapun, terserah kepada peserta himpunan mempamerkan tunjuk rasa masing-masing asalkan tidak memudaratkan diri dan masih dalam lingkungan mematuhi undang-undang.

Q:     Kenapa tak suarakan bantahan melalui Parlimen sahaja? Apa fungsi ahli-ahli Parlimen dalam Dewan? Tak buat kerja ke?

A:     Siapa kata kita tidak suarakan bantahan di Parlimen? Rujuk Hansard Parlimen dari MP-MP Pembangkang khususnya yang begitu jelas, tegas dan konsisten menyatakan bantahan pada ICERD. Kita ucapkan terima kasih pada ahli Parlimen yang tegas menyatakan bantahan, dan sokongan pada bantahan. Adapun himpunan diadakan untuk mengumpul suara ketumbukan dari rakyat akar umbi yang membantah ICERD, di bawah ruang lingkup hak-hak kebebasan demokrasi yang dibenarkan. Dengan adanya bantahan secara besar-besaran, pihak kerajaan akan lebih berwaspada dalam mengeluarkan kenyataan dan memutuskan apa-apa perkara yang mengambil kira kepentingan dan hak-hak rakyat yang sedia ada termaktub dalam Perlembagaan. Melalui bantahan besar-besaran juga, negara akan mendapat liputan meluas dari seluruh dunia bagi menyatakan ketegasan kita terhadap sesuatu perkara sebagai signal bahawa rakyat mempunyai kuasa dalam menentukan apa-apa keputusan yang memberi kesan pada negara.

Kesimpulan:

Terpulang pada hak masing-masing menilai penjelasan yang kita cadangkan. Kita sebagai rakyat Malaysia boleh berbeza ideologi politik, latar belakang profesion atau taraf ekonomi. Namun, di tengah-tengah keadaan negara kita diperkotak-katikkan oleh pengkhianat-pengkhianat dalam kerajaan hari ini, apakah kita masih mahu berdalih dan mementingkan diri sendiri, tanpa memikirkan kesannya pada negara dan generasi muda akan datang? Tidakkah kita fikir kesan buruknya sekiranya negara kita diberi ruang campur tangan asing yang boleh mengganggu gugat keharmonian dan kedaulatan negara dalam jangka masa yang panjang? Tidakkah kita fikir mengapa tokoh-tokoh penting dalam negara seperti Bekas Ketua Hakim Negara juga boleh turut sama menyatakan solidariti dalam bantahan ini? Cukupkah kita sekadar berdiam diri dan berlepas diri dari bersama-sama mempertahan kedaulatan negara kita? Cukupkah kita sekadar menjadi keyboard warrior? Ayuhlah sama-sama kita muhasabah kembali. Bertindaklah hari ini demi masa depan kita bersama. pertahankan negara! Tolak ICERD selama-lamanya! Ayuh turun 8 Disember ini!

Oleh: SYAFIQ KAMIL, 4 Disember 2018 HARAKAHDAILY 4/12/2018 

FB IMG 1543645451163