Tengkujuh: Bajet 2018 masih aktif?

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman meminta Menteri Pembangunan Luar Bandar menyatakan pojek-projek pembangunan dan penambahbaikan pendapatan komuniti luar bandar khususnya yang akan dilaksanakan di daerah Sik dan amnya negeri Kedah dalam tempoh lima tahun (2019-2023).

Advertisement

Beliau membangkit perkara itu semasa sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab soalan tersebut, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Sivarasa K Rasiah berkata, sebanyak RM159.28 juta telah diperuntukan bagi pelaksanaan projek dan program pembangunan luar bandar di seluruh negeri Kedah melibatkan sebanyak 51 projek dan program.

“Manakala bagi daerah Sik sahaja, sebanyak RM17.05 juta telah diperuntukan bagi pelaksanaan tujuh projek dan program pembanguna luar bandar di bawah Kementerian,” tambah beliau.

Ahli Parlimen Sik turut mengemukakan soalan tambahan dengan mempersoalkan adakah pihak kementerian telah mengambil daya usaha bersama dengan Kementerian Industri Utama berkaitan bantuan musim tengkujuh yang masih belum diterima oleh pekebun kecil dan penoreh getah.

“Kita sudah maklum bahawa Kementerian Luar Bandar yang memainkan peranan yang besar untuk pembangunan dan kesejahteraan penduduk luar bandar yang merangkumi 70 peratus penduduk di seluruh Malaysia termasuk kaum Cina, India, penduduk asal dan penduduk pelbagai etnik di Sabah dan Sarawak.

“Adakah bantuan sebanyak RM261 juta yang telah dinyatakan di dalam Bajet 2018 masih lagi aktif kerana setibanya bulan November dan Disember seharusnya bantuan tersebut diberikan kepada pekebun kecil dan penoreh getah. Apa yang membelenggu penduduk luar bandar ialah kejatuhan harga getah dan ketibaan musim tengkujuh pada akhir tahun ini,” tambah beliau.

Beliau turut mempersoalkan isu membaik pulih rumah-rumah di satu penempatan Bandar Baru Beris Jaya di daerah Sik.

Penempatan itu dibina oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan penduduk di beberapa kampung dipindahkan akibat pembinaan Empangan Beris yang membekalkan air kepada penduduk Kedah dan Pulau Pinang.

“Pada tahun lepas hampir 100 buah rumah di penempatan tersebut telah menerima bencana ribut dan sebahagian rumah mereka telah rosak.

“Jadi saya mohon jika pihak kementerian lihat dan membuat perundingan untuk membaik pulih rumah-rumah yang rosak ini,” ujar beliau.

Menjawab persoalan tersebut, timbalan menteri itu berkata, jika dulu terdapat sebahagian bantuan yang diuruskan oleh pihak RISDA tetapi RISDA telah dipindahkan daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar kepada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

“Jadi saya cadangkan untuk tujukan soalan tersebut secara langsung kepada pihak Kementerian Ekonomi agar mereka dapat menjawab secara terperinci mengenai status pembayaran tersebut,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 3/12/2018