Jumlah tunggakan GST, siapa benar?

PADA 7 dan 8 Ogos yang lalu, Menteri Kewangan telah mendedahkan di Dewan Rakyat bahawa Barisan Nasional telah ‘merompak’ wang yang terdapat dalam Kumpulan Wang Amanah Cukai Barang dan Perkhidmatan kerana baki yang terdapat dalam akaun tersebut hanya sekitar RM1.4 bilion sahaja.

Advertisement

Jumlah itu dikatakan tidak mampu untuk menjelaskan keseluruhan tunggakan cukai input GST yang berjumlah RM19.4 bilion dari bulan April 2015.

Pendedahan tersebut telah ditentang oleh ahli-ahli parlimen pembangkang. Malah, Ahli Parlimen Rembau telah membuat laporan polis berhubung isu berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada 9 Ogos 2018.

Beliau mendesak Menteri Kewangan menjalankan satu siasatan awam berhubung dakwaan tersebut kerana ia melibatkan satu tuduhan serius membabitkan duit cukai input rakyat. Walau bagaimanapun, tiada siasatan dibuat berhubung kes berkenaan.

Pada 2 November 2018, Menteri Kewangan telah memperuntukkan satu peruntukan khas di bawah Kumpulan Wang Terkanun sebanyak RM18 bilion untuk membayar jumlah tunggakan GST kepada Orang Kena Cukai (OKC) bermula tahun 2019.

Jumlah tunggakan tersebut diperah daripada kantung PETRONAS melalui dividen khas yang sebanyak RM30 bilion. Jumlah tersebut turut merangkumi jumlah tunggakan Cukai Pendapatan yang perlu dibayar sebanyak RM19 bilion kepada rakyat.

Walau bagaimanapun, berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2017 (Siri 2) di bawah audit Jabatan Kastam Diraja Malaysia, terdapat penemuan baru yang perlu dijelaskan oleh Menteri Kewangan berhubung isu tunggakan tersebut.

Ketua Audit Negara telah mendedahkan jumlah tunggakan ialah RM19.4 bilion. Namun, daripada jumlah tersebut, kes yang telah diluluskan tetapi belum dibayar oleh Kementerian Kewangan hanya RM1.45 bilion sahaja sehingga 5 Jun 2018.

Malah, pihak Ketua Audit Negara menekankan jumlah RM1.45 bilion ini adalah hutang yang perlu dibayar oleh Kementerian Kewangan kepada Orang Kena Cukai (OKC). Baki selebihnya kira-kira RM18 bilion masih di peringkat siasatan, pertikaian dan ketidakpastikan antara Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan OKC.

Hal ini bermakna, tuduhan Menteri Kewangan yang mengatakan Barisan Nasional merompak RM18 bilion duit rakyat dalam Kumpulan Wang Amanah GST adalah tidak tepat. Data-data tersebut telah disahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 2. – HARAKAHDAILY 4/12/2018