Menang untuk pertahan prinsip Perlembagaan

KUALA LUMPUR: Kemenangan para peguam yang mendukung dan mempertahankan prinsip dalam Perlembagaan Persekutuan pada Pemilihan Anggota Majlis Peguam Malaysia merupakan satu permulaan sangat baik.

Advertisement

Malah bagi peguam, Fariz Irwan Mustafa, ianya kesudahan menggembirakan tatkala terdapat usaha-usaha golongan tertentu yang menimbulkan kontroversi dan mencabar kontrak sosial, di mana mereka itu pula gagal mendapat tempat kali ini.

Beliau yang juga salah seorang calon bertanding walaupun hanya mendapat tempat ke-14, namun tidak kecewa sebaliknya merasa berjaya kerana dapat mengatasi nama-nama seperti Siti Kasim di tempat ke-17 serta beberapa bekas anggota jawatankuasa terdahulu.

Majlis Peguam yang mempunyai seramai kira-kira 19,000 ahli berdaftar telah memilih 12 anggota jawatankuasa majlis tersebut pada minggu lalu dengan kadar pengundian meningkat kepada 29 peratus berbanding 17 peratus kertas undi tahun lalu.

Fariz turut menyarankan agar sistem undi dalam talian atau ‘e-voting’ diperkenalkan bagi menggantikan sistem ‘ballot papers’ kerana sebahagian peguam tidak menerima langsung kertas undi ke alamat pejabat mereka.

Beliau berharap pada pemilihan akan datang jumlah undi meningkat sekurang-kurangnya kepada 50 peratus dari keseluruhan ahli Majlis Peguam Malaysia yang berdaftar. – HARAKAHDAILY 4/12/2018