Musim bunga tiba selepas kedinginan

ALHAMDULILLAH atas segalanya. Catatan ini dibuat di Istanbul, Turki, catatan istimewa dari bumi khilafah terakhir umat Islam. Ini catatan dam’ah wa ibtisamah, coretan air mata dan senyuman setelah selesai persidangan di sini. Sebagaimana Doa Rabithah yang sering dibacakan, semoga hati-hati yang berhimpun dalam naungan cinta Allah serta bertemu dalam ketaatan dan bersatu dalam perjuangan menegakkan syariat dalam kehidupan ini akan dirahmati Allah.

Advertisement

Kini musim sejuk di sini, siangnya dengan 11 Celcius dan malamnya lebih dingin di bawah 3 Celcius. Saya hadir mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia (DDPM) ke Kongres Antarabangsa Kesatuan Ummah Kali Ke-27 (27th International Congress of the Union of Muslim Communities) anjuran ESAM – Ekonomik ve Sosyal Araştırmalar Merkezi/ Economic and Social Research Centre dan Persidangan Antarabangsa Kerjasama Belia Islam Kali Ke-13 (13th International Conference of Muslim Youth Cultural Cooperation) anjuran IYFO – International Youth Forum Organization/ Uluslararası Gençlik Forumu yang diadakan di Wow Hotel, Istanbul.

Berpartisipasi dan mendengar pelbagai ucapan, lontaran idea, perbahasan, sesi soal jawab dan mesyuarat meja bulat membuatkan saya menyimpulkan bahawa umat Islam kini berada dalam musim sejuk yang mana semangat perjuangan Islam kian dingin dan dipenuhi rencam salju masalah, isu dan dilema menyebabkan kebangkitan ummah itu membeku. Sebelum berhibernasi di musim sejuk ini, umat Islam telah melalui musim luruh dengan menyaksikan gugurnya sedikit demi sedikit dedaunan iman, amal, taqwa dan jihad!

Suara luka ummah

Dari Indonesia ke Maghribi, pelbagai masalah umat Islam dibahas dan dikeluh-kesahkan. Sejarah luka bumi umat Islam Palestin, kisah duka saudara Rohingya di Arakan, kecamuk perang saudara di Syria dan Yaman, berita penindasan masyarakat Uygur di China, cerita perjuangan Bangsamoro di Selatan Filipina, khabar merentap jiwa penyeksaan dan hukuman bunuh terhadap pimpinan Gerakan Islam di Bangladesh, sejarah panjang perjuangan di Afghanistan melawan Soviet Union dan Blok Barat yang turut disulami pengkhianatan dari dalam, cabaran membawa sinar Islam di Eropah dan negara bekas Soviet Union, kemunduran termasuk kebuluran di Somalia dan pelbagai lagi kisah-kisah perit penuh mehnah dan tribulasi sejarah gerakan Islam membuatkan kita merasa dinginnya musim sejuk yang dirasai tubuh ummah kini!

Dalam menanggapi perkara ini, wajar untuk kita hadam dan memahami firman Allah S.W.T yang telah dibacakan oleh Qari semasa majlis pembukaan berikut yang sebenarnya panduan buat umat Islam dalam perjuangan:

مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ

“Muhammad itu adalah Utusan Allah. Dan orang-orang yang bersama dengan Baginda adalah tegas terhadap orang-orang kafir, tetapi sangat berkasih sayang sesama mereka.”

(al-Fath, ayat 29)

 

Bumi munaqasyah

Peranan Turki dan persidangan-persidangan antarabangsa yang berterusan diadakan di bumi yang dulunya tertegak Khilafah Uthmaniyyah ini merupakan satu berita gembira buat umat. Di kala negara-negara Arab yang terus bertelagah yang menyukarkan untuk persidangan diadakan di tempat mereka, Turki kini menjadi harapan untuk menjadi negara pemudah cara kepada penyatuan negara-negara Islam. Maka di sinilah kami dari pelbagai negara (Turki, Amerika Syarikat, United Kingdom, Malaysia, Palestin, Belgium, Jerman, Norway, Ukraine, Turkestan, Kosovo, Afghanistan, Pakistan, Bangladesh, India, Kashmir, Filipina, Arab Saudi, Mesir, Yaman, Jordan, Iraq, Syria, Lubnan, Kuwait, Algeria, Tunisia, Maghribi, Cameroon, Sudan, Ethiopia, Djibouti, Somalia, Mauritania dan Arakan) berkongres dan berkonferens untuk memikirkan bagaimana darjat dan wibawa umat Islam kini dapat diangkat dan dimartabatkan, insya-Allah.

Selepas Ucaptama dari Pimpinan-pimpinan Gerakan Islam, selama dua hari peserta bersidang dan berwacana dalam beberapa sesi seperti berikut:

Sesi 1:     Krisis di Dunia Islam – Tindakan dan Penyelesaian

Sesi 2:     Kesatuan umat Islam – Mengapa dan Bagaimana?

Sesi 3:     Krisis Peradaban dan Kebangkitan Era Baru

Sesi 4:     Krisis Sistemik Dunia dan Order Dunia Baru

Sesi 5:     Idea Perikatan Kesatuan dan Moral

Sesi 6:     Penyelesaian Islam melalui Pemantapan Organisasi

Sesi 7:     Kepemudaan dan Kerjasama Pertubuhan Belia

Saya diberikan kesempatan untuk menyampaikan ucapan dalam sesi berkenaan kepemudaan dan kerjasama pertubuhan belia bertajuk “The Role of the Muslim Youth in Ummah Building & PAS Experience in Malaysia/ Peranan Pemuda Islam dalam Pembangunan Ummah dan Pengalaman PAS di Malaysia”. Turut menyampaikan ucapan dalam sesi ini termasuklah Dr. Muhammed Musa Budak (Presiden IYFO), Abdulkadir Karaduman (Ahli Parlimen Turki bagi Kawasan Konya) serta Perwakilan Belia dari Turki, Pakistan, Afghanistan, Ethiopia, Sri Lanka, Yemen, Cameroon, Arakan dan Bangsamoro.

 

Masa depan Islam

Atas segalanya, kita meyakini bahawa masa depan di tangan Islam! Musim bunga yang dipenuhi warna-warna kegembiraan dan lukisan keceriaan pasti akan tiba. Bunga-bunga keindahan Islam yang menguncup kini akan kembang mekar mewangi! Masa depan di tangan Islam memerlukan Gerakan Islam seluruhnya memainkan peranannya secara baik dan maksimum. Pelbagai hambatan dan serangan dari berbagai penjuru yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam di seantero dunia sewajarnya tidak menghambat perkembangan nilai-nilai Islam di tengah-tengah kehidupan manusia.

Dengan ketumbukan umat Islam seramai lebih 2 bilion di seluruh dunia dan 78 peratus dari sumber tenaga dunia (minyak, gas dan bahan galian lain) berada di bumi umat Islam, strategi yang ampuh dan kesungguhan yang jitu perlu dipacu melaju menuju sebuah titik zaman gemilang yang tidak mungkin dihentikan oleh siapa pun dan negara mana pun. Ini tentunya dengan kehendak pemilikNya, yakni Allah sebagai pemilik alam semesta yang merupakan al-ghayah yakni matlamat akhir kepada perjuangan.

Saya tertarik dengan Ucapan Perasmian oleh Presiden ESAM, Mr Recai Kutan yang menyatakan betapa penyelesaian Islam perlu digunapakai dalam segala agenda bertindak sama ada di sudut politik, ekonomi dan sosial. Beliau menyebut betapa usaha Barat untuk menghuru-harakan umat Islam adalah dengan mengubah cara pemahaman umat Islam mengenai agama mereka. Ini dilakukan dengan pelbagai cara termasuk melalui peperangan fizikal, peperangan pemikiran, peperangan media dan lain-lain sehingga umat Islam mengambil agama secara tidak syumul. Penindasan terhadap umat Islam dan label-label negatif terhadap agenda Islam merupakan satu cabaran dalam era ini yang memerlukan transformasi dan strategi untuk memenangi pertempuran ideologi dengan musuh-musuh Islam.

Ucapan ini mengingatkan saya kepada tema Muktamar Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tahun ini iaitu Islam Memimpin. Presiden PAS YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menegaskan betapa pentingnya setiap pendukung gerakan Islam untuk terus menerajui agenda penyelesaian Islam bagi membentuk suasana politik baharu dan mencorak masa depan negara dan ummah. Kita menyaksikan hari ini kegagalan ideologi ciptaan manusia terhadap masalah negara dan rakyat, sama ada dalam aspek politik, ekonomi dan sosial. Keadaan yang sama turut dialami oleh negara umat Islam yang menumpang dasar selain Islam, kerana terpengaruh dengan negara besar yang pernah menjajahnya.

Maka dalam menghadapi cabaran, salah satu resolusi yang dipersetujui persidangan ialah peri-pentingnya untuk terus beristiqamah bagi menyelamatkan masyarakat dengan Islam, menghadapi penganut Islam yang tenggelam di dalam kejahilan beragama, dan kalangan bukan Islam yang tenggelam dalam kekeliruan dan fitnah ‘Islamofobia’. Kegagalan kerajaan yang memerintah di negara umat Islam selepas meneruskan dasar warisan penjajah menjadi bukti yang nyata untuk beralih kepada penyelesaian Islam yang syumul. Di sinilah pentingnya umat Islam memiliki pemimpin yang memenuhi sifat kepimpinan Islam, baik dari segi aqidah yang tulen, ilmu yang tinggi dan akhlak terpuji, serta berupaya untuk menjaga keharmonian pelbagai kaum dan agama.

Antara ucapan menarik di dalam persidangan ini yang wajar difikir-renungkan oleh umat Islam ialah ucapan dari wakil Palestin Dr Nawaf Takruri yang menyatatakan “Jangan menuntut dari musuhmu supaya dia merahmatimu!” dan juga ucapan dari wakil Maghribi Dr Muhammed Tollabi yang menekankan “Kita adalah Muslimin maka kita mesti bersama Muslimin!”

Pembantaian umat Islam di Palestin adalah darah duka umat Islam. Pembersihan etnik di Arakan adalah kesedihan umat Islam. Air mata anak-anak di Yaman adalah air mata umat Islam. Kerut wajah rakyat Syria adalah gambaran luka umat Islam. Serangan ekonomi terhadap Turki merupakan kerisauan umat Islam. Penindasan etnik Uygur adalah panahan terhadap rasa umat Islam. Kebuluran di Somalia sewajarnya juga kelaparan umat Islam. Tidak dilupakan korupsi (rasuah), kronisme, nepotisme dan salah urus tadbir yang berlaku di banyak negara umat Islam juga adalah satu belenggu kepada umat Islam seluruhnya.

Begitulah juga kejayaan Bangsamoro di Filipina yang semakin hampir kepada membentuk Kerajaan Autonomi (referendum akan diadakan pada Januari 2019) adalah kemenangan umat Islam seluruhnya. Perkembangan Islam dan pertambahan umat Islam di Amerika Syarikat dan Eropah adalah cerminan kejayaan umat Islam. Bahkan kemenangan gerakan Islam PAS di Kelantan dan Terengganu adalah juga satu langkah maju ke hadapan bagi seluruh gerakan Islam sedunia.

Di dalam temu ramah dengan TV5 Turki, saya ditanya berkenaan bagaimanakah umat Islam dapat menyelesaikan pelbagai dilema, cabaran dan isu yang melanda negara umat Islam termasuk perang saudara, tekanan terhadap gerakan Islam, pembersihan etnik, kemiskinan dan kebuluran serta isu-isu lain sebagaimana disebutkan di atas. Saya menjawab betapa pentingnya umat Islam bersatu dan semua pemimpin Islam perlu menjadikan resolusi dan kata-kata menjadi realiti dan solusi praktikal.

Meneguh kesatuan

Blok umat Islam yang ada seperti OIC, D8, Liga Arab dan lain-lain perlu meletakkan kepentingan Islam di hadapan dalam berhadapan imperialisme ketenteraan, imperialisme ekonomi dan imperialisme budaya khususnya dari Blok Barat dan musuh-musuh Islam. Saya juga menyebut pentingnya semua organisasi umat Islam sama ada Kerajaan, Parti Politik, NGO dan lain-lain memainkan peranan masing-masing di sektor pentadbiran, hubungan antarabangsa, politik, kebajikan, kemasyarakatan dan kemanusiaan.

Maka tema persidangan iaitu “Kesatuan Ummah dan Era Baru dengan Perubahan dan Transformasinya” adalah sangat relevan untuk menjadi panduan bergerak ke hadapan. Ini adalah asas tempat bermula, pangkal tempat bertolak dan ini pulalah keputusan dari segala hukum al-Qur’an serta contoh teladan dari Sunnah Nabi Muhammad S.A.W. Bahkan ia juga selari dengan firman Allah S.W.T yang dibacakan oleh Qari pada hari kedua persidangan yang wajar difahami oleh semua yang hadir:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

“Sesungguhnya orang Mukmin itu bersaudara, maka damaikanlah saudaramu, dan bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kalian dirahmati.”

(al-Hujurat, ayat 10)

Sebagai kesimpulannya, untuk memastikan Musim Bunga yang akan datang adalah yang penuh makna serta cemerlang, gemilang dan terbilang, berikut adalah bunga-bunga yang perlu sama-sama disemai:

1.     Bunga Iman – Keyakinan penuh bahawa Allah akan membantu perjuangan Islam. Jihad dan dakwah adalah jalan menuju kepada kedaulatan Islam.

2.     Bunga Kemahuan Politik – Kemahuan politik oleh negara umat Islam untuk mengambil Islam sebagai penyelesaian dan asas kepada good governance.

3.     Bunga Kesarjanaan Ilmu – Pembangunan sistem Pendidikan berteraskan Islam. Saya turut kongsikan pengalaman PAS membina TASTI, PASTI, SRITI, SMITI, Kolej Universiti dan mudah-mudahan suatu masa nanti Universiti Islam.

4.     Bunga Ketrampilan Syakhsiah – Kepentingan umat Islam menjadi contoh sehingga masyarakat dunia tertarik dengan Islam. Sekiranya mereka tidak memeluk Islam, sekurang-kurangnya mereka tidak membenci Islam. 

5.     Bunga Kesedaran Ummah – Sebagaimana sifat Islam itu yang rahmatan lil ‘alamin, maka motto “Ummah Kita Tanggungjawab Kita” wajar untuk dijadikan kata-kata semangat yang tersemat di dada umat Islam dalam berhadapan dengan pelbagai cabaran mendatang.

Demikianlah catatan persidangan kali ini, insyaa-Allah malam ini akan kembali ke tanah air. Alhamdulillah, ukhuwwah fillah yang terbina bersama sahabat-sahabat seperjuangan gerakan Islam dari seluruh dunia dirasakan sangat indah. Kita bertemu kali ini di Musim Sejuk yang dingin, harapannya agar semangat motivasi dan api perjuangan yang telah dimarakkan nyalaannya melalui persidangan ini akan terus membara. Semoga Musim Bunga umat Islam yang diimpikan akan menjadi kenyataan dengan izin Allah.

Siiru ‘ala barakatillah, teruskan perjuangan kerana Allah! Mudah-mudahan kita akan berjumpa lagi di Turki dalam persidangan akan datang atau di Malaysia atau mana-mana pelosok dunia ini. Insya-Allah sekiranya tidak bertemu lagi di dunia ini, mudah-mudahan kita akan bertemu di SyurgaNya nanti. Amin Ya Rab.

Ya Allah..
Kuatkanlah ikatannya
Kekalkanlah cintanya
Tunjukilah jalan-jalannya
Terangilah dengan cahayamu
Yang tiada pernah padam
Ya Rabbi bimbinglah kami!

Lapangkanlah dada kami
Dengan karunia iman
Dan indahnya tawakal padaMu
Hidupkan dengan ma’rifatMu
Matikan dalam syahid di jalan Mu
Engkaulah pelindung dan pembela!

Akhirul kalam.. ٱنفِرُوا۟ خِفَافًا وَثِقَالًا Infiru khifafan wa tsiqalan!?

“Terus Mara”
“Islam Memimpin”
“Sejahtera Bersama Islam”
“Our Ummah Our Responsibility”
“Mempersiap Generasi Kemenangan”
“Beristiqamah Hingga Kemenangan”

MUHTAR SUHAILI AS-SARAWAKI
Perwakilan Dewan Pemuda PAS Malaysia – DPPM
ESAM & IYFO Conference 2018
4 Disember 2018, 9.47am, Istanbul, Turki. – HARAKAHDAILY 4/12/2018