Segera elaun kritikal kepada anggota bomba

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff memohon pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan supaya menaik taraf balai bomba Rantau Panjang.

Advertisement

Menurutnya, balai bomba di Rantau Panjang sekarang ini berada pada tahap C dan perlu dinaik taraf ke gred A atau sekurang-kurangnya gred B agar dapat menambah kekuatan anggota bomba serta kelengkapan yang lebih baik.

Katanya, sekarang ini jumlah anggota bomba di balai Rantau Panjang hanya 29 orang yang amat tidak mencukupi terutama apabila berdepan dengan banjir besar dan apa-apa risiko yang berlaku di bahagian sempadan.

Beliau juga mempersoalkan berhubung bayaran elaun kritikal kepada anggota bomba yang bertugas.

“Jadi saya ingin tahu apa dasar kementerian untuk memastikan elaun kritikal yang dijanjikan dapat disegerakan kepada anggota bomba.

“Mereka telah banyak berkorban demi untuk negara kita,” katanya ketika membahaskan usul Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Dewan Rakyat, hari ini.

Zailah turut meminta penjelasan mengenai dasar yang dibuat oleh pihak kementerian berhubung kebajikan dan kenaikan anggota bomba supaya perkara ini dapat diselaraskan sebaik mungkin.

“Saya dapat makluman bahawa kenaikan pangkat anggota bomba ini tidak sama dengan anggota beruniform lain.

“Contohnya ‘timebase’ semakan kenaikan anggota bomba memerlukan perkhidmatan 13 tahun baru ada kenaikan. Sedangkan anggota beruniform yang lain seperti anggota polis dan tentera, semakkan timebase setiap 4 tahun hingga 6 tahun sahaja,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 4/12/2018