GAMIS himpun 10,000 mahasiswa bantah ICERD

GAMIS menentang sekeras-kerasnya usaha sebahagian pemimpin kerajaan yang ingin meratifikasi ICERD dalam negara kita Malaysia. Usaha untuk meratifikasi ICERD dalam Negara Malaysia adalah satu tindakan yang membelakangkan Perlembagaan Negara dan Rukun Negara yang telah lama menjadi tunjang kepada perpaduan dan keharmonian antara kaum dalam negara Malaysia.

Advertisement

GAMIS bersama 10 ribu mahasiswa daripada seluruh negara akan menyertai Himpunan Aman Bantah ICERD yang dianjurkan oleh UMMAH di Dataran Merdeka pada hari Sabtu, 8 Disember 2018 ini. Himpunan ini adalah penting kerana ia bakal memberikan pengajaran kepada sebahagian pemimpin negara yang masih belum serik dengan amaran-amaran yang telah diberikan oleh NGO dalam siri protes-protes sebelum ini.

Himpunan ini bakal menjadi bukti bahawa rakyat Malaysia menolak sepenuhnya sebarang usaha kerajaan untuk meratifikasi ICERD. ICERD adalah sebuah bentuk penjajahan antarabangsa atau Malayan Union 2.0 yang bakal meletakkan negara dalam keadaan bahaya, hilang identiti, dan menafikan kontrak sosial yang telah lama menjadi pasak kepada keharmonian antara kaum dalam Negara Malaysia sejak negara kita merdeka.

Menurut Artikel 2 (C) ICERD, mana-mana negara ahli yang menandatangani Perjanjian ICERD mestilah melakukan perubahan kepada mana-mana undang dan polisi negara yang bertentangan dengan objektif ICERD. Ini adalah satu peruntukan yang bakal menjejaskan Kedudukan Agama Islam dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, keistimewaan Bumiputera dalam perkara 153 dan kedudukan serta peranan Raja-raja Melayu dalam negara kita Malaysia seperti yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Peruntukan ini juga bakal merosakkan kontrak sosial yang telah lama menjadi tunjang kepada perpaduan kaum dalam negara kita Malaysia.

Walaupun reservasi dibenarkan namun menurut Artikel 20 (2) ICERD, mana-mana reservasi yang bertentangan dengan objektif ICERD tidak sama sekali akan diluluskan. Peruntukan ini bakal meletakkan Negara Malaysia sebagai negara yang hilang identitinya dan bakal menafikan hak Bumiputera sebagai orang asal dalam negara ini.

Himpunan 8 Disember 2018 di Dataran Merdeka pada hari Sabtu ini bakal menzahirkan kemuncak amarah rakyat kepada sebahagian pemimpin negara yang ingin menjual kedaulatan negara kepada negara asing. Golongan Bumiputera yang berpegang teguh dengan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara bakal bersatu hati, bangkit dan lawan pemimpin kerajaan yang menyokong agenda ICERD habis-habisan selepas daripada ini.

Sekian. Terima kasih.

“Istiqamah Bersama Islam”

Oleh :
MUHAMMAD FAIZZUDDIN MOHD ZAI
Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) – HARAKAHDAILY 5/12/2018 

FB IMG 1543978402910