IMIJ bantah ICERD dan ICCPR

BADAN Kebajikan Ikatan Ilmuan Jordan Malaysia (IMIJ) memandang serius isu ICERD dan ICCPR yang sedang hangat dan tular diperkatakan kini.

Advertisement

Setelah meneliti isu ini, pihak IMIJ dengan ini membantah sekeras-kerasnya ICERD dan ICCPR kerana bercanggah dengan perlembagaan dan boleh menjejaskan keharmonian kaum di Malaysia,

IMIJ dengan ini menyeru semua rakyat supaya bangkit melakukan bantahan terhadap usaha ke arah meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Konvensyen Antarabangsa Hak Sivil dan Politik (ICCPR).

IMIJ juga memberi sokongan penuh terhadap usaha mantan Naib Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) untuk memobilisasi rakyat membantah usaha ke arah meratifikasi konvensyen ini.

“IMIJ juga berharap agar seluruh rakyat prihatin di negara ini agar bangkit melakukan bantahan terhadap usaha mengiktiraf ICERD kerana dilihat bercanggah dengan lunas undang-undang dan syariat Islam.

Selain itu, tiada keperluan untuk ICERD dan ICCPR diratifikasi di negara ini kerana semua rakyat tanpa mengira kaum mendapat layanan adil di sisi perlembagaan persekutuan. Di Malaysia, semua rakyat tanpa mengira kaum mendapat layanan yang adil di sisi Perlembagaan.

Oleh itu, ICERD dan ICCPR adalah senjata yang digunakan untuk menjayakan kepentingan politik segelintir pihak yang tidak senang dengan status quo di Malaysia.Terdapat sesetengah pihak mahu menghapuskan kedudukan Islam dan keistimewaan Melayu dalam Perlembagaan. Hak asasi manusia yang diperjuangkan tidak sesuai diterjemahkan di Malaysia yang dicintai ini.

IMIJ dengan ini menyeru agar semua pihak hadir ke himpunan aman membantah ICERD yang akan diadakan di Dataran Merdeka pada 8 Disember 2018 Sabtu ini.

IMIJ juga mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua pihak yang menyatakan pendirian membantah ICERD dan ICCPR.

Semoga Allah memelihara kesatuan dan keharmonian kaum di tanah air yang kita cintai.

YB Dato’ Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh
Presiden Badan Kebajikan Ikatan Ilmuan Jordan Malaysia (IMIJ)
27 Rabiul Awwal 1440 / 5 Dis 2018 – HARAKAHDAILY 5/12/2018