Kenapa pemimpin PH takut himpunan bantah ICERD?

bantah

SANGAT jelas ketakutan pemimpin Pakatan Harapan (PH) terhadap Himpunan Bantah ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum) pada 8 Disember 2018 ini. Pelbagai alasan dan hujah dangkal dikeluarkan oleh pemimpin tertinggi mereka bagi mengurangkan impak kejayaan program ini. Kenapa sampai begitu sekali ketakutan mereka?

Advertisement

takiri1Jawapannya ialah kerana Himpunan ini bakal menyatukan ahli dua parti terbesar Melayu-Islam iaitu PAS dan Umno. Sekiranya kesatuan ini kekal sehingga ke pilihanraya umum ke-15 (PRU15), semua telah dapat meramal apa nasib Kerajaan PH termasuk di peringkat negeri. Enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah dan Perak sudah pasti bukan lagi milik PH. Kerajaan Persekutuan akan bertukar tangan kerana majoriti kerusi parlimen bukan lagi milik PH. Inilah ketakutan sebenar mereka.

Justeru itu, saya melihat pengumuman penangguhan ICERD oleh Pejabat Perdana Menteri hanyalah satu strategi bagi menghalang kesatuan Melayu Islam ini. Ia bukan datang dari hati suci nurani dan atas kesedaran bahawa ICERD perlu ditolak kerana bercanggah dengan Perlembagaan dan kepentingan Melayu dan Islam yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Himpunan ini juga bakal memperingatkan rakyat kecenderungan PH untuk merobohkan empat tonggak asas bernegara iaitu Islam, kedaulatan Raja-raja Melayu, Bahasa Melayu dan hak istimewa Melayu dan Bumiputra. Mereka boleh berlakon kononnya memberikan peruntukan bagi Islam dan beberapa kepentingan majoriti rakyat tetapi hakikat sebenarnya ia hanyalah topeng bagi menutup agenda mereka.

Sudah terang lagi bersuluh menerusi ucapan ahli-ahli Parlimen PH khususnya dalam kalangan bukan Melayu untuk menidakkan asas-asas berengara tersebut. Teriakan “ini Malaysian Land bukan Malay Land” di Dewan Rakyat ketika pertelingkahan sesama ahli Parlimen menggambarkan isi hati mereka.

Tekanan dari mereka untuk ICERD diratifikasi sangat jelas dan gagah dilaungkan di Dewan Rakyat sebelum ini. Hanya setelah amaran keras dikeluarkan oleh pemimpin PAS dan Umno; dan melihat kesatuan rakyat dalam isu ini barulah mereka kendur dan mengambil sikap undur selangkah.

Adakah mereka akan terus berundur? Tidak! Niat mereka tidak pernah surut. Jika tidak menerusi ICERD sekalipun, kehendak tersebut akan dijelmakan pula menerusi pindaan akta-akta berkaitan sedikit demi sedikit kerana mereka memiliki majoriti mudah di Dewan Rakyat.

ICERD hanyalah mukaddimah. Terdapat beberapa lagi konvensyen antarabangsa yang bercanggah dengan kepentingan Melayu dan Islam dalam negara ini masih diperjuangkan oleh pemimpin PH khususnya daripada DAP dan PKR seperti International Convention Against All Forms of Racial Discrimination, Convenant on Civil and Political Rights (ICCPR).

Pemimpin Melayu-Islam dalam PH hanyalah badut yang menari menurut kehendak DAP dan sebahagian pemimpin PKR. Justeru, rakyat mesti terus bangkit menolak hasrat tidak berperlembagaan pemimpin PH ini. Jelmakan kesatuan dan solidariti ini menerusi Himpunan Bantah ICERD pada 8 Disember ini.

”Islam Memimpin”

Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Tarikh: Khamis, 6 Disember 2018 | 28 Rabiulawwal 1440 – HARAKAHDAILY 6/12/2018