PTPTN: Sistem bayar hutang macam jerung

KUALA LUMPUR: Pengenalan sistem baharu bayaran semula hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ternyata menyusahkan.

Advertisement

Menurut Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman, sistem baharu yang diperkenalkan itu dilihat sebagai ‘jerung yang sedang bersedia membaham mangsa’ tanpa mengira kedudukan kewangan semasa para peminjam.

Pada 5 Disember lalu, pihak PTPTN telah memperkenalkan skim potongan gaji di antara 2 hingga 15 peratus berdasarkan pendapatan peminjam atau dikenali sebagai potongan gaji berjadual (PGB).

Berhubung perkara berikut, Latiff meminta penjelasan daripada Kementerian Pendidikan berkaitan perkenalan skim bayaran semula PTPTN yang baharu dengan janji yang telah dibuat sebelum ini.

“Adakah pengumuman ini memberi makna perjanjian sebelumnya terbatal?

“Dan adakah peminjam-peminjam ini terpaksa menggunakan kaedah yang baru diumumkan?” soalnya ketika membahaskan usul Rang Undang-undang Pembekalan 2019 peringkat Kementerian Pendidikan di Dewan Rakyat, malam tadi.

Beliau juga berkata bahawa pemberian pendidikan secara percuma bukanlah sesuatu yang asing.

“Saya belajar di Iraq pada tahun 90-an dahulu, iaitu ketika Perang Teluk sedang memuncak, masih diberikan pendidikan percuma kepada pelajar asing.

“Selain belajar secara percuma, asrama, malah diberi kupon setiap bulan untuk mendapatkan bahan mentah dan makanan secara percuma,” jelasnya.

Katanya, kerajaan baharu ini disokong oleh golongan muda kerana dijanjikan sesuatu yang mulus tentang PTPTN, akhirnya mereka terpedaya.

Justeru, beliau mencadangkan supaya pihak kementerian mengkaji perkara itu dengan lebih mendalam. – HARAKAHDAILY 7/12/2018

ptn