Tiada menteri mahu jawab isu ICERD di parlimen

KOTA BHARU: Penguasaan DAP dalam Pakatan Harapan (PH) tidak mampu dinafikan lagi apabila semakin jelas parti itu mendominasi pakatan politik terbabit.

Advertisement

Terbaru Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak, Dato’ Ngeh Koo Ham menolak usul untuk membahaskan Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Usul tersebut dikemukakan Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu. Speaker juga dikatakan menolak usul serupa pembangkang yang dibawa Adun Changkat Jering, Ahmad Saidi Mohamad Daud.

Bagaimanapun usul serupa dilulus Dun Pahang dan Terengganu minggu lepas.

Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, apa yang berlaku di Perak secara jelas menggambarkan parti mana yang menguasai kerajaan terbabit.

“Itu secara jelas menggambarkan DAP lebih berkuasa di negeri tersebut. Malah lebih menyedihkan lagi usul serupa di parlimen juga ditolak Speaker.

“Sedangkan usul tersebut dibawa bakal perdana menteri yang juga anggota parlimen Port Dickson,” katanya pada ceramah bantah ICERD di Dataran Warisan di sini malam tadi.

Hadir sama Setiausaha Majlis Syura Ulama Dato’ Dr Nik Zawawi Salleh, Setiausaha Agung PAS Dato’ Takiyuddin Hassan, Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa.

Turut hadir Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan Dato’ Jazlan Yaacob, timbalannya Tan Sri Mohamed Fatmi Che Salleh dan Timbalan Yang Dipertua PAS Kota Bharu Dato’ Dr Ramli Mamat.

Takiyuddin pula berkata, beliau difahamkan Speaker Parlimen, Dato’ Mohamad Arif Yusof menolak usul Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkaitan ICERD kerana tiada menteri yang akan menjawab isu tersebut. – HARAKAHDAILY 7/12/2018