Perhimpunan Icerd: Laporan semasa

KUALA LUMPUR – Ratusan ribu peserta perhimpunan anti-Icerd, ada diantaranya yang telah berhimpun sejak awal malam tadi kini bergerak ke Dataran Merdeka dari tiga pusat berkumpul iaitu di Sogo, Masjid Jamek dan Masjid Negara. Perhimpunan secara rasminya telah bermula jam 2 petang tadi dan akan berakhir 4 jam kemudian.    

Advertisement

Pasukan petugas Harakahdaily.net diketuai oleh Saidah Hairan, Khairul Azlam Mohamad, Nur Hasmira Mohamad, Muhamed Noraziha Abdullah, Nazihah Khan, Ain Manaf dan Syahirah Salleh kini melaporkan secara langsung dari lokasi:-

5.00pm – Sukarelawan sedang bekerja keras untuk membersih kawasan dan mengutip sampah selepas mereka yang hadir mula bergerak pulang.

4.50pm – Perhimpuan bersurai selepas bacaan doa. Hujan semakin lebat turun.

4.36pm – Hujan telah mulai turun, Dato Seri Abdul Hadi Awang telah menyambung semula ucapannya.

4.31pm – Dato Seri Abdul Hadi Awang telah menaiki pentas untuk berucap beberapa minit yang lepas namun ucapannya telah dihentikan seketika untuk laungan azan Asar.

4.20pm – Timbalan Presiden PAS Dato Tuan Ibrahim Tuan Man ketika berucap berkata “Jika kerajaan berdolak-dalik dalam isu Icerd, himpunan lain akan diadakan dan kali ini akan diadakan di Putrajaya.”

Katanya orang Melayu dan Islam kali ini telah berkumpul untuk memberi peringatan kepada semua agar tidak ada mana-mana pihak cuba mengganggu gugat kestabilan dan keharmonian negara.

4.05pm – Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tidak sepatutnya berlaku ketidaksefahaman antara dua parti besar yang memperjuangkan Islam dan bangsa Melayu, iaitu Umno dan PAS. “Kedua-dua parti haruslah bekerjasama untuk mempertahankan bangsa dan agama” katanya lagi.

4.00pm – Langit di Dataran Merdeka bertukar mendung, kawasan sekitar di Lembah Kelang telah mulai hujan.

3.40pm – Petugas Jabatan Amal, Mohd Ariffudin Abdullah menjelaskan mereka terpaksa membawa sesetengah penyokong yang membanjiri Dataran Merdeka untuk berhimpun ke  Masjid Jamek.

Ia berikutan terlalu ramai penyokong yang berkumpul di Dataran Merdeka dan menyebabkan ada individu yang pengsan disebabkan kesesakan tersebut.

“Kita terpaksa membawa sesetengah penyokong ke Masjid Jamek sebab Dataran Merdeka tak muat, kita taknak disana terlalu sesak,” jelas beliau ketika ditemui Harakah ketika menjalankan tugas Sempena Himpunan Bantah ICERD di Dataran Merdeka.

2.40pm – Presiden PAS Dato Seri Abdul Hadi Awang telah tiba di lokasi dengan membonceng sebuah motosikal.

2.15pm – Mantan Perdana Menteri, Dato Seri Najib Razak sampai ke Stesen LRT Masjid Jamek.

1.30pm – Di Sogo Himpunan bantah ICERD turut dihadiri oleh penceramah tersohor tanah air Ustaz Azhar Idrus. Kehadiran beliau disambut dengan laungan takbir oleh peserta bantaha ICERD.

Turut hadir pimpinan PAS Setiausaha Agung PAS Pusat, Dato’ Takiyuddin Hassan, AJK PAS Pusat, Dr Riduan Mohd Nor, Ahli Parlimen Bachok, Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz, Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, Negeri Terengganu, Dr. Azman Ibrahim dan beberapa pimpinan yang lain.

1.00pm – Peserta bantahan ICERD berkumpul pada pukul 1 tengahari di Dataran Merdeka untuk menunaikan solat zohor serta solat hajat untuk memohon perlindungan daripada Allah agar memberkati majlis bantahan tersebut. Jemaah muslimin dan muslimat memenuhi dataran merdeka untuk menunaikan solat zohor sebelum memulakan perarakan bantahan ICERD.

12.52pm – Peserta bersiap sedia bagi menunaikan solat zohor di hadapan dataran merdeka.

12.15pm – Kelihatan petugas Unit Amal Malaysia beratur sambil mendengar arahan daripada ketua mereka untuk menjaga keselamatan di kawasan Sogo.

11.10am – Laungan ‘Bantah-bantah..bantah ICERD’ bergema di perkarangan Pusat Membeli-belah SOGO. Ucapan daripada wakil peserta bantah ICERD menambah semangat lebih 5,000 peserta yang lain. Suasana panas tidak mematahkan semangat peserta untuk berhimpun dengan aman.