Bermula agenda DAP tekan Tun M

SEBELUM ini diketahui ada banyak perkara yang pemimpin DAP tidak berpuas hati dengan Tun Dr Mahathir, tetapi pemimpin DAP sekadar menzahirkan ketidakpuasan hati mereka kepada Tun Dr Mahathir melalui pemimpin bawahan mereka sahaja.

Advertisement

Begitu pun, pada 7 Disember 2018, dalam program pertama beliau di Universiti Malaya setelah berpuluh tahun tidak menjejakkan kaki di sana, maestro DAP Lim Kit Siang sendiri secara terbuka menggesa rakyat supaya menekan Tun Dr Mahathir.

Tekanan ini adalah bersabit dengan Laporan Majlis Penasihat Kerajaan yang diserahkan kepada Tun Dr Mahathir pada 7 Ogos 2018 di mana laporan ini tidak didedahkan kepada rakyat sedangkan Lim Kit Siang mahu laporan ini didedahkan.

Dalam laporan dan rakaman portal Free Malaysia Today dan portal Malaysia Kini jelas disebut kata-kata Lim Kit Siang bahawa “the public should put pressure on Mahathir to make the report public” dan “let us put pressure on Mahathir to make it public”.

Laporan portal Free Malaysia Today boleh dibaca bertajuk “Make CEP report public says Kit Siang” manakala rakaman portal Malaysia Kini boleh ditonton pada Youtube bertajuk “Dedahkan laporan CEP kepada umum – Kit Siang”

Kita tertanya-tanya apa motif sebenar Lim Kit Siang membakar rakyat supaya menekan Tun Dr Mahathir bagi mendedahkan Laporan Majlis Penasihat Kerajaan ini sedangkan Tun Dr Mahathir sendiri telah menegaskan laporan ini tidak akan didedahkan.

Penegasan Tun Dr Mahathir ini dibuat pada 27 Ogos 2018 bila beliau berkata: “The Council of Eminent Persons their job is to do the investigation and all that and report to me. Whether I accept the report or not is my business, but the main thing is to feed me with the information that I need in order to make decisions. So it is a government’s business. When we make decisions in government, we don’t always publish it.”

Penegasan Tun Dr Mahathir ini boleh ditonton dalam rakaman portal Malaysia Kini bertarikh 27 Ogos 2018 melalui berita bertajuk “PM: CEP’s report may not be made public“.

Pada hari sama, seorang ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Prof Jomo Kwame Sundaram, sendiri telah menyatakan bahawa laporan ini tidak patut didedahkan kerana “the Council of Eminent Persons never wrote it with the intention of it getting published”, “some of the items are sensitive” dan “there are many things which are delicate”.

Kenyataan Prof Jomo Kwame Sundaram ini boleh ditonton dalam rakaman portal Free Malaysia Today bertarikh 27 Ogos 2018 melalui rakaman Youtube “Laporan kami ada maklumat sensitif, kata ahli CEP”.

Bila Prof Jomo Kwame Sundaram berkata laporan ini tidak patut didedahkan, bagaimana pula Lim Kit Siang dalam program beliau di Universiti Malaya pada 7 Disember 2018 itu boleh mendakwa Prof Jomo Kwame Sundaram bersetuju laporan ini didedahkan kepada rakyat sedangkan Prof Jomo Kwame Sundaram ada dalam program itu?

Bila Lim Kit Siang sebagai pemimpin terulung DAP sendiri sudah bersuara secara terbuka menggesa rakyat supaya menekan Tun Dr Mahathir apakah ini bermakna bahawa ini adalah permulaan kepada gerakan untuk menyingkirkan Tun Dr Mahathir?

PEMBACA HARAKAHDAILY – HARAKAHDAILY 9/12/2018