ICERD: PM tidak hadir sambutan Suhakam tepat

tuan ibr

PAS menyambut baik keputusan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tidak menghadiri sambutan Hari Hak Asasi Manusia anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) atas alasan beliau tidak bersetuju untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) manakala Suhakam pula menuntutnya untuk diratifikasikan.

Advertisement

Keputusan Tun Mahathir ini wajar dipuji dan diikuti oleh para pimpinan Pakatan Harapan kerana ia akan mengurangkan mesej tidak konsisten pendirian sebenar kerajaan PH mengenai ICERD. Diharap selepas ini tiada lagi pimpinan PH yang memberikan gambaran berbeza terhadap ICERD; yang menguatkan persepsi bahawa keputusan kerajaan untuk tidak meratifikasikan ICERD hanya bersifat sementara.

Keputusan ini juga tepat selaras dengan kehendak jutaan rakyat Malaysia yang berhimpun di Kuala Lumpur semalam membantah ICERD demi menjaga keharmonian dan hubungan kaum yang baik negara yang telah berlangsung lebih 60 tahun.

Sesungguhnya hanya mereka yang pelampau dan tidak mengerti dan menghormati budaya serta struktur kepelbagaian Malaysia yang akan bersetuju dengan tuntutan ICERD.

Sewajarnya Suhakam juga perlu menyokong penuh hasrat Perdana Menteri dan rakyat negara ini yang menentang ICERD. Bertindak sebaliknya hanya menimbulkan persepsi bahawa Suhakam telah menjadi alat pihak luar yang lebih memperjuangkan tuntutan pihak luar daripada memahami kepentingan negara.

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Ahli Parlimen Kubang Kerian
Timbalan Presiden PAS
9 Disember 2018 – HARAKAHDAILY 9/12/2018